suria

Doktor luah rakyat sangat degil, sikap tak munasabah walau selepas alami titik kejatuhan - “Dia berteriak, persoal bagaimana kami yakin dia tak dijangkiti Covid-19?”

Petugas kesihatan melakukan proses saringan kepada orang ramai bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19. Gambar sekadar hiasan/Foto Bernama

SIKAP sesetengah masyarakat di Malaysia yang tidak munasabah telah menyukarkan lagi usaha barisan hadapan negara yang kini sedang bertungkus lumus mengawal penyebaran wabak Covid-19.

Menolak daripada dikuarantin, menuntut pemeriksaan yang tidak perlu, berbohong mengenai sejarah perjalanan mereka, dan menyembunyikan fakta bahawa mereka kontak terdekat pesakit positif Covid-19 - ini hanya beberapa daripada isu yang terpaksa dihadapi kakitangan perubatan.

Dengan kes Covid-19 semakin meningkat, beberapa orang pegawai perubatan yang berada di barisan hadapan ini berkongsi dengan pasukan R.AGE, daripada The Star, bagaimana tempoh bekerja yang panjang dan kondisi di hospital mula menunjukkan kesan pada diri mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Hari ke-3 Perintah Kawalan Pergerakan: Malaysia catat 130 kes baharu, jumlah keseluruhan 1,030

ARTIKEL BERKAITAN: “Tak kenal sempadan” - KP sahkan 15 petugas kesihatan positif Covid-19, seorang di ICU

"Ada individu yang hanya berjalan melepasi sekumpulan pelancong China - tak bercakap atau menyentuh mereka - tapi beliau terus minta untuk melakukan ujian Covid," ujar seorang doktor di Sungai Buloh, yang hanya mahu dikenali sebagai Dr Faris.

"Kami terpaksa menolak, tapi dia mula menjerit dan berteriak, mempersoalkan 'bagaimana kami yakin beliau tidak dijangkiti virus tersebut?'"

Doktor lain yang berpusat di Seremban berkata beberapa pesakit enggan menunggu di ruangan yang ditetapkan untuk pemeriksaan walaupun menunjukkan simptom jangkitan virus terbabit.

Sehingga hari ini, 12 petugas kesihatan KKM dan 3 daripada sektor kesihatan swasta telah dijangkiti virus COVID-19. Salah seorang daripada 12 kakitangan KKM tersebut kini berada di ICU dan memerlukan bantuan pernafasan./Noor Hisham Abdullah.

"Mereka enggan dikuarantin dengan alasan mereka mempunyai perkara lain yang perlu dilakukan, ada yang takut dengan kritikan masyarakat apabila mengetahui bahawa mereka ini tetap pergi mengembara ke negara luar walaupun di nasihatkan untuk tidak melakukannya," katanya.

Walaupun sesetengah pesakit cuba mengelak daripada menjalani pemeriksaan, sesetengah pula memilih untuk berbohong supaya mereka boleh menjalani ujian.

"Ujian ini tak murah, jadi kami hanya akan melakukannya untuk kes-kes tertentu. Tapi ada antara mereka yang berbohong kepada kami, mereka beritahu bahawa mereka tinggal bersama individu yang hadir ke perhimpunan tabligh dan mempunyai gejala!

"Jadi masalah sekarang ialah kita sedang berhadapan dengan rakyat Malaysia yang sangat degil," katanya.

Untuk memburukkan lagi keadaan, beliau berkata ramai rakyat Malaysia yang diarahkan untuk melakukan kuarantin di rumah, tidak melakukannya.

Misalnya, seorang pesakit yang diminta untuk melakukan kuarantin selepas menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Jamek, Sri Petaling telah melanggar arahan doktor dan beliau telah menghadiri dua majlis perkahwinan. Keputusan pemeriksaan akhirnya mengesahkan bahawa beliau positif.

"Kita tidak mempunyai penguatkuasa untuk memantau mereka di rumah kerana kita perlu mengendalikan keadaan di klinik dan hospital.

"Sesetengah negara memantau pesakit mereka dengan mengguna aplikasi mudah alih, tetapi kita tidak mempunyai aplikasi tersebut, jadi virus terus merebak di seluruh negara dengan pantas," katanya.

Ahmad Azwan Al-Fateh berkongsi gambar tapak tangan seorang jururawat lelaki yang sentiasa menggunakan sarung tangan dan terpaksa membilas tangan berulang kali menggunakan hand sanitizer. / FB Ahmad Azwan Al-Fateh.

Perhimpunan dan acara awam yang berterusan di Malaysia, walaupun lebih daripada 900 kes yang direkodkan pada masa kini, turut menimbulkan persoalan bagi Dr Faris.

Beliau yang terpaksa menjarakkan diri dari anggota keluarganya sendiri, berkata orang ramai perlu mengambil ikhtibar dari perhimpunan tabligh, yang kemudiannya membawa kepada penyebaran penyakit ini secara meluas.

"Ini titik kejatuhan kita. Saya masih tak percaya kita boleh menganjurkan perhimpunan untuk lebih 14,000 orang! Disebabkan perhimpunan terbabit, kita kini menjadi agen pengeksport virus ini, "katanya.

Barisan hadapan ini turut berkongsi mengenai kekangan yang dihadapi mereka akibat daripada peningkatan kes yang mendadak.

Seorang doktor yang berpusat di selatan Semenanjung Malaysia, yang hanya mahu dikenali sebagai Dr Yasmin, berkata beberapa fasiliti kesihatan tidak mempunyai pilihan selain membekukan cuti kakitangan dan melanjutkan tempoh waktu bekerja.

"Kami tidak mempunyai pilihan - kami memerlukan orang untuk membantu melakukan pemeriksaan, pengambilan sampel dan menghantar sampel dan Pesakit Di Bawah Pemerhatian (PUI) ke hospital yang ditetapkan.

"Kita bercakap tentang tenaga manusia, dan selepas bekerja selama beberapa jam, selama beberapa hari di bawah tekanan yang begitu besar, anggota kakitangan kami mula jatuh sakit," ujarnya, sambil menambah bahawa mereka mengenal pasti lima hingga 10 PUI setiap hari.

Bagi sesetengah mereka pula, tamatnya tempoh bekerja di klinik tidak bermakna bahawa mereka boleh pulang ke rumah dan berehat.

"Selepas menamatkan kerja pada jam 5 petang, kita perlu tergesa-gesa ke sempadan untuk membantu proses saringan. Ada juga yang perlu membantu di hospital-hospital yang tidak mempunyai kakitangan yang mencukupi" katanya, sambil menambah bahawa dia berharap perintah kawalan pergerakan ini dapat membantu mengurangkan penularan wabak ini.

Sama seperti doktor lain, Dr Yasmin dan rakan-rakan sekerja juga terpaksa berhadapan dengan pesakit yang enggan memberi kerjasama justeru meletakkan kakitangan perubatan kepada risiko jangkitan.

Menurut Dr Yasmin, seorang pesakit tidak mendedahkan bahawa dia telah menghadiri perhimpunan tabligh, jadi doktor memeriksa beliau seperti kes biasa.

"Keesokan harinya, pesakit itu pergi ke klinik yang berbeza dan positif untuk Covid-19. Doktor yang merawatnya itu pula sebenarnya sedang hamil anak sulung, selepas bertahun-tahun lama menunggu untuk mendapat cahaya mata, dan kini beliau juga sudah menunjukkan simptom jangkitan terbabit," katanya.

Sesetengah mereka terpaksa bertugas di pintu masuk negara selepas tamat waktu bertugas di klinik, bagi membantu porses saringan dijalankan. Faisal/The Star.

Bangga memikul tanggunjawab ini kepada negara, Dr Yasmin bagaimanapun gusar memikirkan sejauh mana mereka di barisan hadapan ini mampu bertahan.

Justeru beliau turut menyeru agar rakyat Malaysia bersama-sama membantu barisan hadapan ini dengan mengikut semua arahan yang ditetapkan.

"Kami cenderung untuk jatuh sakit kerana kami tidak mempunyai rehat yang cukup, kami berhadapan dengan begitu ramai pesakit, dan memakai pakaian pelindungan peribadi itu bukanlah sesuatu yang mudah, pakaian tersebut sangat panas dan tidak selesa," tambahnya.

Sementara ini apabila ditanya mengenai cabaran serta keletihan yang dialami petugas kesihatan, Menteri Kesihatan Datuk Dr Adham Baba berkata orang awam dan barisan hadapan negara perlu sedar bahawa perlu mengambil setiap tindakan yang telah dikeluarkan pada masa kini demi untuk menangani penularan wabak ini.

"Saya sudah berkali-kali seru rakyat dan juga barisan hadapan negara sewaktu saya melawat di Hospital Permai di Johor Bahru, KLIA, Hospital Sungai Buloh, Putrajaya dan klinik kesihatan - kita perlu kekang penularan wabak ini.. Itu matlamat kita.

"Para doktor mungkin boleh berbincang dengan pengarah masing-masing.. Kita sedar ada staf yang penat bekerja sehingga 24 jam, dan sebab itulah semalam Agong kita mencemar duli melawat ke Pusat Kesediaan dan Tindak Balas Krisis Kebangsaan (CPRC) untuk memantau keadaan,” katanya.

Beliau turut meminta masyarakat untuk tenang dan mengikut setiap arahan yang dikeluarkan.

Dr Faris, Dr Yasmin, Covid-19

Artikel Lain