suria

“Tak kenal sempadan” - KP sahkan 15 petugas kesihatan positif Covid-19, seorang di ICU

12 petugas kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan tiga lagi daripada sektor kesihatan swasta disahkan dijangkiti wabak Covid-19.

BERKHIDMAT sepenuh hati dalam berdepan wabak Covid-19, tanpa kita sedari petugas barisan hadapan (frontliner) juga manusia biasa seperti kita.

Terbaharu, 12 petugas kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan tiga lagi daripada sektor kesihatan swasta turut dijangkiti wabak itu.

Perkara berkenaan disahkan Ketua Pengarah KKM, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi laman Facebook pada Jumaat petang

ARTIKEL BERKAITAN: Agong pandu kereta tinjau Perintah Kawalan Pergerakan, sertai sekatan jalan raya - “Tuanku jaga kesihatan juga”

"Sehingga hari ini, 12 petugas kesihatan KKM dan tiga daripada sektor kesihatan swasta telah dijangkiti virus Covid-19. Salah seorang daripada 12 kakitangan KKM tersebut kini berada di ICU dan memerlukan bantuan pernafasan.

"Virus ini tidak mengenal sempadan, tanpa mengira status bangsa, agama atau nilai harta anda, tambahan lagi jika anda seorang petugas kesihatan di barisan hadapan medan perang ini," ujarnya.

Malah, Dr Noor Hisham turut menggesa orang ramai agar duduk di rumah bagi membantu memudahkan urusan pihak berkuasa termasuklah KKM.

Orang ramai digesa mematuhi arahan KKM dan pihak berkuasa.

"Pesanan ringkas kami kepada orang ramai pada hari ini: Bantu kami untuk membantu anda. Duduk di rumah," ujarnya ringkas.

Dalam pada itu, posting berkenaan turut mendapat perhatian ramai dan dihujani pelbagai komen sejurus ia dimuatnaik.

Rata-rata netizen mengucapkan terima kasih kepada seluruh kakitangan KKM, tak kurang juga menyelar rakyat Malaysia yang masih ingkar arahan kerajaan khususnya selepas Perintah Kawalan Pergerakan dimulakan pada Rabu.

"Ya Allah berilah sinar cahaya yg terbaik untuk petugas petugas kesihatan, kami doakan anda selalu.

"Ya Allah sembuhkanlah mereka yang bertungkus lumus berkhidmat untuk masyarakat ni.

"Semoga diberikan ganjaran oleh Allah.

'Yang masih degil tolonglah bagi kerjasama, stay at home," tulis beberapa netizen.

 

Artikel Lain