suria

Petugas sektor awam dan swasta dalam perkhidmatan penting akan dikeluarkan surat, pas kebenaran bertugas

Perakuan itu adalah bagi mengatasi kekeliruan yang timbul dan masalah apabila melalui sekatan polis sepanjang tempoh perintah itu sehingga 31 Mac.

PERAKUAN kebenaran bertugas akan diberikan kepada petugas sektor awam dan swasta yang terlibat dalam perkhidmatan penting sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang masuk hari ketiga, Jumaat.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perakuan itu adalah bagi mengatasi kekeliruan yang timbul dan masalah apabila melalui sekatan polis sepanjang tempoh perintah itu sehingga 31 Mac.

Katanya perakuan itu dalam bentuk surat dan pas akan dikeluarkan Ketua Setiausaha (KSU) di setiap kementerian bagi jabatan kerajaan, manakala Menteri Kanan yang menjaga kluster ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan menyelaras surat-surat daripada pihak swasta.

ARTIKEL BERKAITAN: Perintah Kawalan Pergerakan, ini 25 sektor perkhidmatan penting negara yang tidak ditutup

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di Putrajaya, Jumaat.

"Kemungkinan ada kesusahan pekerja terutamanya jabatan kerajaan dan swasta apabila ditahan polis tidak ada bukti pergi ke pejabat sedangkan mereka dibenarkan," katanya yang juga Menteri Pertahanan.

Ismail Sabri berharap isu ini akan dapat diselesaikan melalui pas kebenaran perjalanan yang dikeluarkan oleh KSU di setiap kementerian dan wakil pejabat swasta.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata ada yang memaklumkan majikan meminta pekerja menandatangani secara paksa untuk bersetuju cuti tanpa gaji.

"Itu salah… kita tidak benarkan. Cuti… kita tidak benarkan mereka bekerja tetapi gaji diteruskan seperti biasa. Kita telah minta Menteri Sumber Manusia (Datuk Seri M Saravanan) ambil tindakan," katanya. -Bernama

Covid-19, surat, pas, bertugas, kerajaan, swasta

Artikel Lain