suria

Hari ke-3 Perintah Kawalan Pergerakan: Malaysia catat 130 kes baharu, jumlah keseluruhan 1,030

Wabak Covid-19 bukan sahaja menjadi kebimbangan di negara ini, tetapi seluruh penduduk dunia. -Gambar hiasan

MEMASUKI hari ketiga Perintah Kawalan Pergerakan, Malaysia mencatat 130 kes baharu Covid-19 setakat Jumaat.

Pertambahan itu sekali gus merekodkan 1,030 kes keseluruhan di negara ini.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tak kenal sempadan” - KP sahkan 15 petugas kesihatan positif Covid-19, seorang di ICU

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), 48 daripada 130 kes baharu itu berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling.

Sehingga kini, seramai 26 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.

KKM turut memaklumkan terdapat 12 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada Jumaat, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya sebanyak 87 kes.

Dalam perkembangan berasingan, Ketua Pengarah KKM, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada Jumaat mengesahkan 12 petugas kesihatan di bawah kementerian dan tiga lagi daripada sektor kesihatan swasta turut dijangkiti wabak itu.

Malah, salah seorang daripada 12 kakitangan KKM tersebut kini berada di ICU dan memerlukan bantuan pernafasan.

Untuk rekod kes global setakat Jumaat, China masih mendahului dengan 81,264 kes, diikuti Itali, 41,035 kes dan Iran dengan 18,407 kes.

 

Artikel Lain