suria

Malaysia catat kematian ketiga Covid-19

Malaysia catat kematian ketiga akibat Covid-19.

SETELAH merekodkan dua kematian akibat Covid-19 pada Selasa lalu, Malaysia dikejutkan dengan satu lagi kematian pada Jumaat petang.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi laman Facebook miliknya.

"Dukacita dimaklumkan bahawa Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan telah menerima laporan satu kematian Covid-19 (kes ke-152) pada hari ini iaitu pada jam 6.27 petang, menjadikan jumlah keseluruhan kematian Covid-19 setakat ini tiga kes.

"Kes ke-152 ini merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 58 tahun daripada kluster jemaah tabligh. Beliau telah dimasukkan ke Hospital Tawau pada 9 Mac 2020 dengan mengalami simptom Severe Acute Respiratory Infection.

"Beliau telah diberi bantuan mesin pernafasan dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada hari yang sama. Kesihatan beliau merosot hari demi hari dan telah disahkan meninggal dunia pada 20 Mac 2020 pada jam 6.27 petang. Takziah diucapkan kepada keluarga arwah," ujarnya di Facebook.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan 130 kes baharu, menjadikan 1,030 kes keseluruhan di Malaysia.

Covid-19, kematian, ketiga, tabligh

Artikel Lain