suria

MP Pakatan Harapan calonkan Anwar sebagai PM, tolak usaha tubuh kerajaan pintu belakang

Anwar bersama pimpinan Pakatan Harapan sewaktu mengadakan sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya pada Rabu. Foto: Twitter DSAI

AHLI Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) pada Rabu sepakat menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri bagi gabungan berkenaan.

Perkara itu diumumkan oleh Anwar yang juga Presiden PKR dalam satu sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat parti itu di Petaling Jaya, sebentar tadi.

Menurut Anwar, keputusan menamakannya sebagai calon perdana menteri diputuskan dalam Majlis Presiden PH yang diadakan pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya sentiasa sabar dan yakin” - Anwar Ibrahim

ARTIKEL BERKAITAN: Sejarah tercipta! Agong ‘interview personally’ 221 MP dalam masa 2 hari sebelum putuskan PM ke-8

“Ekoran cubaan menubuhkan kerajaan secara pintu belakang Tun Dr Mahathir Mohamad telah meletak jawatan sebagai PM.

“Keputusan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) keluar dari Pakatan Harapan pada Isnin lalu disusuli peletakan jawatan Tun (Mahathir) sebagai Pengerusi Bersatu.

“Sehubungan itu, Majlis Presiden Pakatan Harapan telah menjemput Tun Dr Mahathir untuk mempengerusikan mesyuarat itu bagi memulihkan kerajaan Pakatan Harapan, namun Tun tidak bersetuju untuk hadir dalam mesyuarat tersebut pada petang Selasa, 25 Februari.

“Justeru itu, keputusan Majlis Presiden semalam telah menetapkan bahawa calon Perdana Menteri Pakatan Harapan ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim,” demikian katanya dalam sidang media berkenaan.

Turut hadir dalam sidang media tersebut adalah Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng serta pimpinan komponen tiga parti dalam PH.

Menurut Anwar, PH tidak bersetuju dengan sebarang usaha untuk menubuhkan kerajaan secara pintu belakang, yang digerakkan sejak minggu lalu.

Tambahnya, pakatan itu juga kekal komited terhadap aspirasi dan amanat rakyat untuk membawa negara ke arah yang lebih baik dari segenap sudut ekonomi, politik dan sosial.

“Kami tidak akan mengkhianati amanah ini," kata beliau.

Dalam sidang media yang sama, Anwar meminta semua pihak supaya menyerahkan urusan hala tuju pentadbiran negara kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Kita harus hormati kebijaksanaan dan budi bicara Tuanku mengikut peruntukan Perlembagaan,” kata beliau lagi.

Bermula petang Selasa, Al-Sultan Abdullah menemuramah seramai 221 Ahli Parlimen (MP) secara berperingkat sehingga Rabu.

Ia bagi mengetahui secara bersemuka sokongan setiap MP terhadap calon perdana menteri terbaharu selepas Dr Mahathir meletak jawatan pada Isnin. 

Artikel Lain