Wah! Wajah ceria MP Pakatan Harapan keluar Istana Negara – “Berita baik buat rakyat Malaysia”

Bas yang dinaiki beberapa ahli Parlimen Pakatan Harapan dilihat keluar dari pekarangan Istana Negara selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, petang Rabu. Foto Bernama

BEBERAPA ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) kelihatan ceria selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah, di Istana Negara pada Rabu.

Mereka antara baki 132 daripada 222 ahli Dewan Rakyat yang dititahkan Seri Paduka untuk menghadiri sesi menghadap dan temu bual dengan baginda, susulan perkembangan terkini situasi politik di Malaysia.

Pada Selasa, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap 90 ahli Parlimen bagi mendengar pandangan dan menentukan sokongan kepada pihak mana bagi membentuk kerajaan baharu.

Kesemua ahli Parlimen PH itu dilihat meninggalkan Istana Negara melalui Pintu 2 bermula pukul 12.48 tengah hari selepas menghadiri sesi itu.

Mereka yang menaiki bas dua tingkat disewa khas kemudian melambai kepada petugas media dan penyokong parti yang menunggu sejak 9 pagi Rabu, sebelum beberapa pemimpin PH itu turun dari kenderaan berkenaan untuk bertemu dengan penyokong.

Masing-masing kelihatan ceria dan membayangkan ada ‘perkhabaran baik’ hasil pertemuan dengan Seri Paduka.

Kelihatan beberapa ahli Parlimen Pakatan Harapan menaiki bas keluar dari pekarangan Istana Negara pukul 4.30 petang Rabu. Foto Bernama

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang ditemui pemberita berkata: “Berita baik buat rakyat Malaysia. InsyaAllah, itu semuanya rahsia Yang di-Pertuan Agong, kami telah membuat aku janji bahawa tidak boleh mendedahkan kepada sesiapa.”

Sementara itu, ahli Parlimen Pulai yang juga Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata mereka telah menandatangani deklarasi bagi mencalonkan seorang pemimpin PH untuk menjadi perdana menteri.

Bagaimanapun, beliau yang juga bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani enggan mengulas lanjut.

Ahli Parlimen Lumut Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli pula secara ringkas berkata: “Pakatan Harapan akan kembali (sebagai kerajaan).”

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Pahang, Fuziah Salleh pula berkata; “demi negara kita, demi rakyat di Malaysia, sesungguhnya kita doakan yang terbaik untuk negara kita. Saya syukur dalam beberapa hari kebelakangan ini kita kekal menjaga keamanan negara, … kita akan dapat (bentuk kerajaan) Insya Allah kerana kita dalam majoriti.”   

Kesemua mereka sebelum itu tiba berperingkat-peringkat bermula pukul 10 pagi di Istana Negara.

Turut kelihatan meninggalkan Istana Negara, kenderaan yang membawa Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Artikel Lain