suria

Tun M akan cabar pelantikan bekas ketua hakim negara di Mahkamah Persekutuan

Dr Mahathir Mohamad.

MAHKAMAH Rayuan pada Isnin menolak rayuan-rayuan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mencabar pelantikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif dan bekas Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin.

Ia berikutan permintaan daripada peguam Dr Mahathir Mohamad, iaitu Mohamed Haniff Khatri Abdullah supaya kedua-dua rayuan itu ditolak atas alasan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam satu kes lain telah memutuskan bahawa isu itu telah menjadi akademik dan Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga responden pertama dalam rayuan itu, tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Rahman Sebli yang mengetuai sidang yang turut dianggotai hakim-hakim Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim secara sebulat suara menolak rayuan-rayuan itu tanpa memerintahkan sebarang kos.

“Atas permintaan perayu sendiri, maka kedua-dua rayan ini ditolak tanpa apa-apa perintah mengenai kos.

"Dalam apa juga keadaan, kami berpandangan bahawa memandangkan responden pertama tidak lagi menjadi Perdana Menteri Malaysia dan beliau tidak lagi berada pada kedudukan yang boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong dari segi perintah yang diinginkan dalam permohanan semakan kehakiman ini, jadi permohanan ini telah menjadi berlebih-lebihan dan sia-sia seperi yang diakui secara tulus oleh Mohamed Haniff sendiri,” kata hakim Abdul Rahman.

Dr Mahathir membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 16 November 2017, yang menolak permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman untuk mencabar pelantikan kedua-dua jawatan tertinggi bagan kehakiman tersebut.

Terdahulu, Mohamed Haniff berhujah bahawa rayuan-rayuan itu patut ditolak atas alasan Mahkamah Persekutuan pada 25 September 2018 telah memutuskan bahawa isu tersebut telah menjadi akademik (bukan isu yang hidup) kerana kedua-dua mereka (Md Raus dan Zulkefli) telah meletak jawatan.

Beliau berkata beliau tidak bersetuju dengan keputusan itu tetapi Mahkamah Rayuan adalah tertakluk dengan Keputusan Mahkamah Persekutuan itu.

“Oleh itu, kami meminta supaya rayuan-rayuan ini ditolak. Jadi, kami akan pergi ke Mahkamah Persekutuan untuk memfailkan permohonan bagi mohohon kebenaran untuk mengemukakan pertanyaan-pertanyaan,” kata beliau dan menegaskan kepada mahkamah bahawa beliau tidak menarik balik rayuan-rayuan itu.

Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke Yee Ching menghujahkan bahawa isu tersebut telah menjadi akademik kerana keadan sudah berubah disebabkan Najib tidak lagi menjadi Perdana Menteri yang boleh membatalkan pelantikan Md Raus dan Zulkefli.

Peguam Steven Thiru yang bertindak bagi pihak Badan Peguam Malaysia sebagai ‘amicus curiae' (sahabat mahkamah) menghujahkan bahawa perkara itu adalah isu yang masih hidup memandangkan perintah 'mandamus' yang dimohon oleh Dr Mahathir dalam permohonan semakan kehakimannya masih belum diputuskan oleh mahkamah.

“Ya, kedudukan personaliti dalam rayuan-rayuan tersebut telah berubah, tetapi isu berkenaan masih hidup dan perlu diputuskan oleh mahkamah,” kata beliau.

Pada 9 Ogos 2017, Dr Mahathir memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman dengan menamakan Najib, kerajaan dan Md Raus sebagai responden-responden, bagi mendapatkan perintah 'mandamus' untuk memaksa perdana menteri (Najib) dan kerajaan supaya segera menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membatal dan menamatkan pelantikan Md Raus sebagai Ketua Hakim bagi tempoh tiga tahun lagi mulai 4 Ogos 2017.

Pada 27 September 2017, Dr Mahathir memfailkan permohonan serupa dengan menamakan Najib, kerajaan dan Zulkefli sebagai responden-responden bagi mencabar pelantikan dan penyambungan penggal perkhidmatan Presiden Mahkamah Rayuan.

Kedua-dua permohonan mengemukakan empat alasan mengikut peruntukan perlembagaan, termasuk Perkara 125 (1) Perlembagaan Persekutuan yang tidak membenarkan seseorang yang telah mencapai umur yang dibenarkan oleh perlembagaan untuk berkhidmat iaitu 66 tahun dan enam bulan, dilantik menjadi Ketua Hakim Negara.

Di luar mahkamah, Mohamed Haniff memberitahu para wartawan bahawa beliau telah meminta supaya kedua-dua rayuan itu ditolak kerana Mahkamah Rayuan adalah tertakluk kepada kepada Mahkamah Persekutuan.

"Jadi tiada gunanya membuang masa mahakamah ini. Mereka boleh menolak rayuan ini, kami pergi lebih tinggi lagi ke Mahkamah Persekutan dan menyelesaikan kes ini di sana.

"Saya fikir terdapat dua persoalan penting yang perlu ditanyakan. Pertama, sama ada keputusan Mahkamah Persekutuan bersifat akademik atau tidak, sama ada perkara itu sendiri bersifat akademik atau tidak.

"Nombor dua, kaitan persoalan-persoalan itu dengan perlembagaan, sama ada ia persoalan perlembagaan yang perlu memohon kebenaran. Kami akan memfailkan permohonan kebenaran itu dalam tempoh 30 hari,” kata beliau. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

SPR teruskan PRK Semenyih

Artikel Lain