suria

Tersentuh hati kisah pelajar IPTA ini, sebungkus mi segera makan 2 kali, air Milo sangat sedap!

Mira (kiri) bersama Liyana. Foto ihsan Nuramirah Mohd Arif.

PETALING JAYA: Kehidupan di asrama pastinya menyimpan pelbagai kisah suka duka buat penghuninya.

Terbaharu, seorang penuntut di sebuah universiti awam di Nilai, Negeri Sembilan berkongsi kisah menyentuh hati mengenai rakannya yang terpaksa mengikat perut kerana kekurangan wang untuk berbelanja.

Menurut Nuramirah Mohd Arif atau lebih mesra disapa Mira, rakan sebiliknya itu yang dikenali sebagai Kak Liyana akan berbelanja tidak lebih RM5 setiap hari.

"Dengan kehidupan di universiti, dia belanja RM5 je sehari. Contoh kalau bas tiba-tiba buat hal, kemudian terpaksa balik naik Grab sebab hostel kami jauh dari universiti kira-kira 12 kilometer (km).

"Grab sudah tentu mahal sebab jauh. Jadi kalau dia dah habiskan RM5 untuk Grab bila balik nanti, mesti dia dah tak makan sebab duit belanja dia dah cecah had RM5," katanya kepada mStar Online.

Bukan itu sahaja, Mira berkata ketika sarapan pagi rakannya itu juga akan mengambil nasi goreng dalam kuantiti yang banyak di sebuah kafeteria.

"Nasib baik pak cik kafe tu pemurah. Dia hanya kira RM1.50 sahaja walaupun nasi tu dalam kuantiti yang banyak.

"Kemudian dia akan bahagi dua nasi goreng tu untuk makan tengah hari," katanya.

Posting Mira menjadi tular di Twitter.

Untuk sebelah petang pula, Mira berkata rakannya itu akan membeli nasi berlaukkan kentang goreng sambal campur tempe sahaja.

"Tu je lauk yang dia akan beli. Dia tak beli ayam atau ikan. Sebab yang lain tu, kalau beli dah harga RM4 atau lebih.

"Ataupun dia tak makan petang. Dia hanya makan roti yang ada di lokernya," kata gadis berusia 19 tahun itu.

Mira berkata rakannya itu juga pernah membahagikan sebungkus mi segera kepada dua bahagian untuk dimakan pada hari yang berbeza.

"Pernah sekali dia makan maggi, tu pun dia bahagi dua. Dia kata separuh lagi boleh makan lain kali pula.

"Saya kalau makan bukan takat bahagi dua, dua bungkus terus saya lahap. Dari situ saya jadi sangat kasihankan dia," katanya.

Jelas Mira, perkara paling menyentuh hatinya apabila rakannya itu memberitahu dia tidak pernah menikmati makanan yang mahal.

"Dia kata akak tak tahulah macam mana orang makan benda mahal-mahal ni. Akak terliur juga kadang-kadang tu.

"Ayat tu buat saya sebak. Pernah sekali saya beri dia air kotak Milo, dia kata 'Ya Allah Mira sedapnya'. Lidah jadi kelu tak tahu nak kata apa," katanya.

Antara komen netizen yang tersentuh dengan nasib rakan Mira.

Sejak dari itu Mira berkata, dia akan membelikan air kotak Milo kepada rakan sebiliknya itu.

"Hampir setiap hari kami memang sarapan bersama. Jadi kalau saya beli air kotak, saya akan beli sekali untuk dia," katanya.

Ditanya mengapa dia berkongsi kisah sedih itu, Mira berkata dia amat mengagumi semangat kental rakan sebiliknya itu.

Pernah terdetik di hatinya untuk bertanya dengan lebih lanjut tentang latar belakang keluarga rakannya itu tetapi bimbang soalannnya itu sensitif dan akan membuatkan dia terguris hati.

Bagaimanapun Mira difahamkan rakan sebiliknya itu mendapat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional.

"Saya tiada niat untuk meraih simpati bagi pihak rakan saya itu. Saya hanya ingin membuka mata orang ramai mengenai apa yang saya nampak sepanjang bersama dengannya.

"Saya tak sangka posting ini akan jadi tular. Saya juga berterima kasih kepada netizen yang menyatakan hasrat untuk membantunya. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa anda semua," katanya.

Posting tersebut turut dihujani pelbagai komen netizen termasuklah mereka yang berkongsi kisah senasib dengan rakan Mira.

Setakat ini, posting tersebut diulang kicau lebih 16,000 kali dan mendapat lebih 7,000 tanda suka.

hostel, ikat perut

Artikel Lain