suria

Kesetiaan penjawat awam 'terang-terangan sokong BN' dipertikai

PETALING JAYA: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mempersoalkan kesetiaan penjawat awam yang terlibat secara mendalam dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, penjawat awam tidak sewajarnya memihak kepada mana-mana parti kecuali melaksanakan dasar-dasar kerajaan semasa.

"Kita dapati bahawa ramai daripada pegawai kerajaan sama ada dengan sukarela ataupun tidak telah mengambil bahagian dalam pilihan raya...berkempen untuk parti Barisan Nasional (BN).

"Kita berasa sangsi dengan kesetiaan mereka dan sama ada mereka masih berpegang kepada kesetiaan dengan parti yang lama atau kerajaan sekarang," katanya pada sidang media yang diadakan di Menara Yayasan Selangor di sini, Jumaat.

Sidang media itu diadakan selepas perbincangan dilakukan dalam mesyuarat Majlis Presiden yang turut dihadiri buat kali pertama oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dr Mahathir berkata kerajaan PH tidak mahu kumpulan ini mengganggu pentadbiran kerajaan PH apabila mereka tidak dapat memberikan kerjasama dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan baharu.

"Ini mengganggu pentadbiran PH kerana kita ingin mentadbir mengikut cara-cara kita dan ikut manifesto kita.

"Setelah kerajaan bertukar kepada parti yang lain kita perlu tentukan sama ada kita boleh mendapat kerjasama daripada pegawai-pegawai kerajaan yang sepatutnya menjadi pegawai yang tak memihak kepada mana-mana parti," katanya.

Perdana menteri berkata dalam menjalankan tugas, penjawat awam tidak boleh memihak kepada mana-mana parti walaupun mereka mempunyai hak untuk memilih dalam pilihan raya.

"Walaupun mereka berhak untuk mengundi mana-mana parti tapi dalam menjalankan tugas mereka tak boleh memihak kepada mana-mana parti, tugas mereka adalah untuk melaksanakan keputusan dan dasar-dasar kerajaan semasa

"Pada masa ini kerajaan ini adalah kerajaan PH, inilah sesuatu yang menjadi masalah kepada kita," katanya.

Mengenai bilangan penjawat awam yang dimaksudkan, Dr Mahathir berkata beliau masih belum mendapat angka sebenar tetapi mengakui jumlahnya 'banyak sekali'.

Bagaimanapun beliau berharap mereka dapat mengubah sikap dan menjadi neutral semula dalam menjalankan tugas, malah mereka juga tidak akan dianiaya tanpa mendapat pemberian bantuan khas Aidilfitri.

Mengulas mengenai nasib 17,000 penjawat awam yang merupakan lantikan politik kerajaan sebelum ini, Dr Mahathir berkata tindakan perlu diambil ke atas mereka.

"Dia datang daripada parti lawan, kita kena ambil tindakanlah, jawatan itu bukan diperlukan, ia ditubuhkan semata-mata untuk beri kerja kepada orang-orang parti," katanya.

Selain itu, PH turut mendakwa memiliki rakaman video penjawat awam yang terlibat secara langsung untuk berkempen dalam PRU14, termasuklah yang memakai baju biru (BN) secara terang-terangan.

Tun M

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain