suria

“Satu Tweet, Tak Sampai 24 Jam Dah Jumpa!”

PETALING JAYA: Biar apa pun alasan yang memaksa ibu kandungnya menyerahkan dirinya kepada wanita lain selepas dilahirkan, gadis berusia 22 tahun ini langsung tidak berkecil hati kerana yakin ibunya mempunyai alasan yang kukuh.

Qkhazatul Ayuni Abdul Razak berkata, perasaannya bercampur baur selepas usahanya menjejaki ibu kandung hanya dengan memuat naik posting di Twitter, akhirnya membuahkan hasil.

ARTIKEL BERKAITAN: Terpisah 22 Tahun, Twitter Temukan Gadis Ini Dengan Ibu Kandung

"Perasaan saya agak teruja dan gementar sebab tak sangka dapat jumpa ibu kandung dalam masa tak sampai 24 jam...secara tiba-tiba.

"Kami berjumpa di sebuah restoran di Subang dan mama (ibu kandung) bawa adik-beradik saya yang lain pada malam itu," katanya kepada mStar Online.

Tambah Qkhazatul Ayuni, ibu angkatnya, Elizah Mahmud tidak pernah menghalang untuk dia mencari ibu kandungnya itu, malah tidak kisah dengan keputusannya itu memandangkan mereka adalah keluarganya juga.

Menurut gadis yang dibesarkan di Puchong itu, dia juga bekerja di kilang yang sama dengan tempat ibu kandungnya mencari rezeki selepas ibunya itu berhijrah dari Sabah dua dekad lalu.

Ketika ditanya punca ibu kandungnya, Siti Rozani Mudrika menyerahkannya kepada orang lain sewaktu masih bayi, gadis tersebut mendakwa ibunya mempunyai masalah peribadi kerana terpaksa berpisah jauh dari keluarga di Sabah.

mStar Online pada Isnin melaporkan laman sosial kini bukan sahaja medan untuk berkomunikasi, malahan ia mampu mencipta 'keajaiban' sehingga berjaya menemukan kembali dua beranak yang terpisah selama 22 tahun.

Kisah yang menyentuh hati itu tular di Twitter apabila ia dimuat naik pada 5 Mac lalu oleh pemilik akaun @ynrazak yang meminta orang ramai membantunya menjejaki ibu kandungnya.

Kesungguhan gadis itu mencari ibu kandungnya akhirnya menemui khabar gembira apabila seorang wanita, Cici Windrawaty Mudrika mendakwa dia adalah adik kepada ibu kandung gadis itu dengan menghantar pesanan peribadi melalui Twitter.

jejak kasih

Artikel Lain