suria

Cuba Terima Rasuah: Bekas Pengarah Syarikat Dipenjara, Denda

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah syarikat kawalan keselamatan dijatuhi hukuman penjara dua hari dan denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini bagi pertuduhan cuba menerima rasuah kononnya bagi menyelesaikan kes pemerdagangan manusia yang dihadapi kenalannya bergelar Datuk.

Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman itu ke atas Noorasyikin A. Latiff, 40, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah pada prosiding perbicaraannya sebelum ini yang bermula pada Februari tahun ini dengan tujuh saksi pihak pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan.

Hari ini ditetapkan untuk jatuh hukum kes tersebut.

Azura memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini dan memerintahkan wanita itu dipenjara selama tiga tahun jika gagal membayar denda.

Noorasyikin, didakwa telah secara rasuah cuba untuk menerima bagi dirinya, satu suapan iaitu wang tunai RM10,000 daripada Nur Aisyah Roling, melalui Mohd Rozaini Radzi, sebagai dorongan untuknya membantu menyelesaikan kes suami Nur Aisyah, iaitu Datuk Baharuddin Hamzah.

Baharuddin yang merupakan seorang jutawan didakwa atas lapan pertuduhan memperdagangkan lapan individu warga Indonesia untuk dijadikan pekerja restoran di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, 8 Disember 2016.

Noorasyikin melakukan perbuatan itu di perkarangan Restoran Victoria Station, Jalan Ampang, di sini, pada 3.30 petang, 15 Disember 2016.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694), dibaca bersama Seksyen 28(1)(a) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Ketika rayuan, peguam Munawar Kabir Zainal Abidin yang mewakili Noorasyikin memberitahu mahkamah anak guamnya melakukan perbuatan itu kerana berada dalam gangguan emosi dan tertekan akibat menghidap kanser payu dara.

“Tertuduh adalah pesalah kali pertama, tidak pernah mempunyai rekod jenayah, pohon hukuman ringan dikenakan,” katanya menambah tertuduh juga perlu mendapatkan rawatan berkala terhadap penyakitnya itu.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohd Asnawi Abu Hanipah memohon mahkamah mengambil kira beberapa faktor sebelum menjatuhkan hukuman termasuk mahkamah telah menghabiskan masa setahun empat bulan bagi menjalankan kes tersebut dan perbezaan antara pengakuan salah ketika kali pertama tertuduh didakwa dan selepas tujuh saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.

Mengikut fakta kes, pada 30 Okt 2016, tertuduh telah berjumpa dengan Nur Aisyah di perkarangan Ibu Pejabat Imigresen di Putrajaya dan memberitahu bahawa jika wanita itu mahu kes terhadap suaminya diselesaikan, Nur Aisyah perlu membuat sejumlah bayaran.

Pada 15 Disember tahun sama, Nur Aisyah telah menyediakan wang yang diminta yang dimasukkan ke dalam sebuah bungkusan dokumen dan telah mengupah seorang lelaki iaitu Mohd Rozaini untuk mengambil dokumen itu dengan upah RM200.—-Bernama

Azura Alwi

Artikel Lain