suria

Bekas Penolong Pengarah Salah Guna Kuasa Sindir Wartawan Rakam Gambar

Pegawai SPRM mengiringi tertuduh ke penjara Sungai Udang.

BANDARAYA MELAKA: “Macam ni perangai orang pakai kopiah?," sindir seorang wanita ketika gambarnya dirakam petugas media selepas dia dijatuhi hukuman denda RM65,836.50 dan penjara sehari oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, setelah mengaku bersalah atas tuduhan salah guna kuasa kira-kira tiga tahun lalu.

Bekas Penolong Pengarah Pengurusan dan Kewangan Perbadanan Stadium Melaka, Nurulain Norazmi, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan kedudukannya untuk melakukan suapan dengan mengeluar dan meluluskan pesanan kerajaan bernilai RM13,167.30 kepada syarikat milik adiknya untuk membekalkan peralatan kebersihan di Stadium Hang Jebat.

Kesalahan itu dilakukan di pejabat Bahagian Pengurusan dan Kewangan Perbadanan Stadium Melaka dalam Daerah Melaka Tengah pada April 2015.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 23(1)Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM 2009 dan boleh dihukum menurut Seksyen 24 akta yang sama.

Jika didapati bersalah tertuduh boleh didenda tidak kurang lima kali nilai suapan dan penjara tidak sehingga 20 tahun.

Mengikut fakta kes tertuduh pada April 2015 telah meluluskan peruntukan bernilai RM13,167.30 kepada syarikat adiknya Mohd Najib Norazmi berdasarkan invois syarikat adiknya bertarikh 3 April 2015.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Irwan Shah Abdul Samat memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana tertuduh seorang penjawat awam yang dilantik secara kontrak, yang menyalahgunakan kuasa dan gagal mengenepikan kepentingan peribadi sehingga menyerahkan kontrak kepada adiknya.

Tertuduh yang diwakili Peguam Bela Azrul Zulkifli Stork merayu anak guamnya dikenakan hukuman minima kerana mempunyai tanggungjawab sebagai isteri dan mempunyai tiga anak termasuk seorang bayi.

“Anak guam saya juga sudah menjual rumahnya untuk membayar hukuman denda hari ini," kata Azrul selepas ketika merayu.

Selepas mendengar hujah kedua dua pihak, Ahmad Sazali memerintah tertuduh dipenjara sehari dan membayar denda berjumlah RM65,836.50.

Tertuduh kemudiannya dihantar ke Penjara Sungai Udang. - Sinar Harian

salah guna kuasa

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain