suria

Pesakit Perlu Tunggu Lama Untuk Khidmat Terapi Carakerja

PETALING JAYA: Kekurangan ahli terapi carakerja (OT) di negara ini telah menyebabkan sejumlah mangsa kemalangan dan pesakit yang menjalani pembedahan terpaksa menunggu sehingga tempoh dua bulan untuk mendapatkan rawatan.

Ramai daripada mereka juga perlu pergi ke Lembah Klang di mana ia menjadi pengkalan kepada majoriti kakitangan mahir ini.

"Di Malaysia, kita mempunyai kira-kira 1,800 ahli terapi carakerja tetapi kita perlu berkhidmat kepada penduduk yang berjumlah kira-kira 32 juta orang.

"Nisbahnya adalah 1: 17,777," kata Presiden Persatuan Ahli Terapi Carakerja Malaysia Soh Say Beng.

Kadar ini adalah tiga kali lebih rendah daripada nisbah purata global terapi carakerja dengan penduduk iaitu 1: 5000.

Pesakit di Lembah Klang berada dalam kedudukan yang lebih baik kerana ia mempunyai konsentrasi terbesar terapi carakerja di negara ini.

Antara lain, ahli terapi carakerja diperlukan dalam membantu pergerakan semula anggota badan pesakit pembedahan atau untuk membantu kanak-kanak yang mempunyai masalah pembelajaran.

Dalam satu temu bual, Say Beng memetik satu kes mangsa rompakan di Melaka yang terpaksa berulang-alik ke Kuala Lumpur pada jarak 200km selama tiga kali seminggu, hanya untuk menerima rawatan yang diperlukan.


"Disebabkan dia tidak boleh memandu lagi, dia terpaksa mengambil teksi dari Melaka ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Kos bagi setiap perjalanan adalah sekitar RM500, yang merupakan beban berat yang perlu ditanggung dirinya dan keluarga," katanya.

Tangan wanita itu kudung apabila beliau ditetak dalam cubaan rompakan.

Pembedahan telah berjaya menyambungkan semula tendon (serat tisu kenyal yang menyambungkan otot dgn tulang) tetapi beliau perlu belajar semula bagaimana untuk menggunakan kedua-dua tangan dengan bantuan ahli terapi profesional.

Walaupun semua hospital awam utama mempunyai ahli terapi carakerja mereka sendiri, Say beng berkata, pasukannya adalah kecil dan masa menunggu untuk mendapatkan rawatan boleh mencecah sehingga dua bulan.

Katanya, tempoh menunggu yang lama seperti itu boleh menjejaskan proses pemulihan pesakit.

"Sebaik-baiknya, pesakit perlu menerima khidmat campur tangan OT dalam tempoh seminggu.

"Semakin lama anda menunggu, pertumbuhan otot pesakit adalah lebih lemah apabila ia tidak digunakan, anggota badan mereka tidak bergerak dan motivasi mereka akan menurun secara drastik," katanya.

Jabatan pemulihan itu di PPUM, tempat di mana Say Beng berkerja mempunyai seramai 103 OT dan merupakan pusat pemulihan terbesar dan mempunyai kedudukan kukuh di Malaysia.

Bagaimanapun, jumlah kakitangan tersebut yang hanya cukup untuk memenuhi permintaan pesakit yang tinggal di kawasan berdekatan, kata Say Beng.

Pesakit di kawasan luar bandar atau pinggir bandar menghadapi cabaran yang lebih besar.

"Hospital daerah dan klinik-klinik kesihatan tidak dilengkapi kakitangan OT sebaiknya. Ia menyebabkan lebih sukar untuk kita untuk mendekati mereka yang memerlukan rawatan," katanya.

Say Beng berkata OT akan membantu pesakit mendapatkan semula fungsi kerja mereka supaya mereka dapat menjalankan aktiviti harian seperti biasa.

Pada masa ini, ramai rakyat Malaysia yang mengalami kecacatan fizikal atau mental tidak dapat kembali bekerja, menyebabkan mereka terpaksa tinggal di rumah, di bawah jagaan keluarga masing-masing.

"Tugas kita adalah untuk membantu mereka bebas bergerak semula, supaya mereka dapat menjalani kehidupan yang produktif," katanya.

Beliau berkata, di negara-negara seperti Australia, Jepun, Hong Kong dan Kanada, peranan seorang OT meliputi bidang termasuk rundingan tuntutan insurans, pendidikan khas, penjagaan paliatif, juga perancangan bandar.

terapi carakerja, OT, Soh Say Beng

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain