suria

Dugaan Ibadah: Tandas Kotor di Kawasan R&R

Laluan lebuh raya yang menempatkan beberapa kawasan rawat dan rehat ke Makkah dan Madinah.

ASSALAMUALAIKUM. Ramai jemaah yang kali pertama berkunjung ke Tanah Suci Madinah dan Makkah akan membangkitkan mengenai tandas kotor di kawasan Rehat dan Rawat (R&R). Tidak kiralah sama ada perjalanan dari Jeddah ke Madinah atau Madinah ke Makkah.

Hakikatnya, perkara ini sudah tidak dihiraukan lagi di kalangan mereka yang berpengalaman dan sering berpeluang ke Tanah Suci. Namun, seringkali tidak terlintas untuk jemaah yang kali pertama bergelar tetamu Allah bertanya atau mereka yang sudah berpengalaman ke sana bercerita mengenai perkara berkenaan.

Ramai jemaah yang terkejut dan tidak menyangka tahap kebersihannya mengecewakan sehingga segelintir jemaah sanggup bertahan untuk membuang air kecil kerana tidak sanggup melihat tandas kotor dan kadangkala tiada air atau air begitu sedikit.

Kali ini, saya ingin berkongi pengalaman mengenai persediaan sebelum memulakan perjalanan yang kita ketahui bas dinaiki akan berhenti di kawasan R&R sebelum tiba ke destinasi sama ada di Madinah atau Makkah.

Namun, tahap kebersihan ketika ini di perhentian terbabit jauh lebih baik berbanding 20 tahun lalu.

Jika dulu, ketiadaan air bukan asing kepada jemaah tetapi kini banyak perhentian sudah ada air tetapi kebersihan tandas belum memuaskan.

Antara punca tandas kotor ialah sikap jemaah yang tidak atau kurang bertanggungjawab setelah menggunakannya.  Saya yakin jika semua jemaah menitikberatkan kebersihan, sudah tentu tandas tidak begitu menjijikkan.

Jika di tandas wanita, kita akan lihat tuala wanita, pelapik seluar dalam, lampin pakai buang bayi, sisa najis yang tidak dipam sepenuhnya serta tisu di sudut tandas dan kadangkala tidak dimasukkan ke dalam tong sampah yang disediakan sehingga mengundang bau tidak menyenangkan.

Jika setiap jemaah mementingkan nilai-nilai kebersihan, sudah tentu tandas tidak berbau dan selesa untuk kegunaan setiap jemaah seantero dunia. Namun, pasti ada yang menitikberatkan kebersihan tetapi disebabkan sikap sesetengah orang yang kurang prihatin menyebabkan tandas menjadi kotor.

Jumlah kedatangan jemaah yang singgah setiap hari turut menyebabkan tandas kotor kerana kesukaran untuk pengendali tandas membersihkannya mengikut jadual.

Justeru, dalam hal ini, sukar untuk kita meletakkaan kesalahan 100 peratus kepada jemaah, mahupun pengendali tandas yang perlu membersihkannya setiap hari berikutan lambakan jemaah dari seluruh pelosok dunia.

Saya sering mengingatkan jemaah wanita agar membawa air mineral dan tisu basah terutama jika mahu menaiki bas ke Madinah dan Makkah. Namun, diingatkan juga, tisu basah tidak boleh digunakan ketika dalam ihram kerana mengandungi haruman.

Justeru, air mineral paling penting sebagai bekalan jika menaiki bas dan berhenti di kawasan R&R.

Jemaah berehat di kawasan rehat sebelum memasuki Makkah.

Keluhan demi keluhan saya dengar daripada jemaah yang kali pertama berkunjung menunaikan ibadat umrah dan sering maklumkan kepada mereka kepentingan membawa bekalan air kerana khuatir ketiadaan atau kekurangan air di dalam tandas.

“Kak Ana, kenapa tandas kotor? Tak ada air pulak tu…” ungkap Maria yang baru kali pertama berkunjung ke Tanah Suci.

“Kan akak dah bagi tahu sebelum ini. Bersedia saja…Awak bawa air mineral tak?” soal saya.

“Alhamdulillah ada. Tapi saya tak larat nak tengok tandasnya. Terpaksa tahan nak buang air ni,” balas Maria.

“Boleh tahan ke? Lagi kira-kira dua jam baru sampai tau?” tanya saya lagi sambil tersenyum.

“Harap-harap boleh. Insya Allah,” balas Maria.

Maria berlalu meninggalkan tandas namun mencuci muka di kawasan luar tandas dan berlalu meninggalkan saya dan jemaah lain. Beliau terus menuju ke pasaraya mini yang terletak berhampiran kiosk menjual teh.

Ruang makan selesa dan bersih di Afrah yang tetletak di lebuhraya di antara Madinah dan Makkah.

Jemaah lain yang tidak mahu ke tandas pula saya lihat terus mengambil wuduk di bahagian luar kawasan tandas dan menuju ke musolla berhampiran. Mujur ada air apabila paip dibuka. Alhamdulillah deras pula ketika itu.

Warga tua yang sudah tidak mampu bertahan untuk ke tandas dan membuang air tidak mengendahkan bau tandas yang menyengat dan agak kotor.

Sementara menunggu giliran memasuki tandas, jemaah dikenali sebagai makcik Jah menyapa saya.

“Dah tak tahan dah hajah. Makcik nak buang air juga. Tak boleh tunggu sampai Makkah. Kena buang air juga di sini,” ujar makcik Jah yang datang bersama anak perempuannya.

“Tak apalah makcik. Nak tunggu sampai lambat lagi. Eloklah pergi buang air kecil dulu. Selepas itu bolehlah kita solat terus,” balas saya tersenyum.

Lazimnya, saya tidak mengendahkan bau dan kotoran yang terlihat kerana lebih selesa menyempurnakan solat Maghrib dan Isyak di musolla kawasan R&R. Kebelakangan ini, saya lihat sebahagian besar kawasan R&R jauh lebih terjaga dan agak bersih selain bekalan air yang banyak untuk kemudahan jemaah. Alhamdulillah.

Justeru, saya sering menasihatkan jemaah agar tidak terlalu cerewet dan tidak mengendahkan bau serta sedikit sampah yang mungkin dilihat di sekitar tong sampah.

Saya sering berpesan kepada jemaah yang baru kali pertama berkunjung mengerjakan umrah bahawa kawasan R&R di Arab Saudi tidak seperti di negara kita dan perlu bersedia secara mental agar tidak mudah melenting atau 'naik angin' jika terlihat kekotoran.

“Kawasan R&R di Arab Saudi tidak seperti di tanah air kita. Kena ingat R&R mereka dikunjungi jemaah dari serata dunia. Jadi mesti sukar untuk mereka menjamin tahap kebersihan memuaskan. Kita mesti faham keadaan itu.

“Sebaik-baiknya bawalah bekalan sebotol air mineral ke mana-mana sahaja anda pergi. Kadangkala kita khuatir air tiada atau ramai jemaah. Namun selalunya sekarang ini bekalan air bukan menjadi masalah utama kepada jemaah. Bekalan air sebagai persediaan untuk menghadapi kecemasan. ”

Pernah seorang jemaah mengeluh di masjid Ar-Rahmah di Jeddah kerana kurang selesa sebab tandas di situ agak kotor dan berbau sedangkan jemaah lain masih boleh bertoleransi dengan keadaan di tandas berkenaan.

Saya lihat tandas di situ tidaklah kotor. Susunan tempat wuduk bersih dan tiada sampah bertabur tetapi beliau tetap tidak puas hati dengan tahap kebersihan di tandas berkenaan.

Ketika itu, kami semua hendak mengambil wuduk dan bersolat Jumaat di masjid terbabit sejurus tiba di Lapangan Terbang King Abdul Aziz di Jeddah.

“Hajah, kenapa kotor ye tandas di sini,” tanya guru muda yang datang bersama-sama ibunya.

“Ini masih OK. Tak kotor ni. Bersih. Sabar je. Kita dalam ihram…” balas saya mengingatkan.

“Baiklah. Terima kasih, tapi tak fahamlah kenapa tandas kotor,” keluh guru itu terus.

“Ini baru sikit saja. Masih bersih lagi. Alhamdulillah ada air dan tempat wuduk pun bersih saja. Awak baru kali pertama kali datang ke?” ujar saya pula.

“Ye, kali pertama. Tak sangka…” katanya.

“Cikgu kena bersedia untuk semua perkara dan kemungkinan apabila bergelar tetamu Allah SWT. Banyakkan bersabar cikgu. Kita mesti reda,” sambung saya lagi.

Kami diam dan terus mengambil wuduk. Kasihan juga saya melihat guru muda itu. Mungkin tidak menyangka bakal berhadapan dengan keadaan seumpama itu sejurus tiba di kota Jeddah. Tiada sesiapa yang memaklumkan kepadanya keadaan berkenaan walaupun ibunya sudah beberapa kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah dan haji.

Di Makkah, saya mengingatkan guru itu agar membawa air mineral ke mana-mana sahaja, terutama dalam perjalanan dari Makkah ke Madinah kerana bas akan berhenti di kawasan R&R selama kira-kira satu jam sebelum meneruskan semula perjalanan ke Madinah.

Alhamdulillah, tiada masalah berbangkit ketika kami dalam perjalanan dari Makkah ke Madinah kerana perhentian dipilih agak bersih dan jemaah kelihatan lebih selesa.

kawasan R&R, Makkah, Madinah, tandas

Artikel Sebelum

Artikel Lain