suria

Sesi Perbahasan Daun Ketum Gamatkan Dewan

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan)(No.2) 2014 yang antara lain untuk menyenaraikan ketum sebagai dadah berbahaya ditangguhkan untuk bacaan kali kedua dan ketiga pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.

"Tuan Yang Dipertua, bahawa menurut Peraturan Mesyuarat D.R. 29/2014 Rang Undang-undang Dadah Berbahaya (Pindaan) (No.2) 2014, tertera di nombor satu di dalam Aturan Urusan Mesyuarat pada hari ini ditangguhkan bagi bacaan kali kedua dan ketiga dan dibawakan ke mesyuarat akan datang," kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Rang Undang-Undang itu dibentangkan Hilmi untuk bacaan kali kedua yang antara lain untuk menyediakan takrifan baharu bagi daun ketum dan menyenaraikannya sebagai dadah berbahaya.

Cadangan pindaan itu juga meliputi sekatan pengimportan, pengeksportan, pemilikan, penanaman, perusahaan ketum dan mengadakan peruntukan kuasa untuk mengawal selia penghasilan dan urusan berkenaan ketum.

Pada sesi perbahasan rang undang-undang itu, Che Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu) mencadangkan agar pindaan itu ditangguhkan atas alasan untuk mengelakkan berlakunya penganiayaan kepada penduduk kampung yang menanam, dan menggunakan bahan itu untuk tujuan perubatan dan kesihatan diri.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa dirinya menerima matlamat pindaan perundangan itu untuk membendung penyalahgunaan daun ketum sebagai bahan khayal dalam kalangan pelajar sekolah dan orang dewasa sehingga mendorong mereka terjebak dalam penggunaan dadah.  

"Saya cadangkan Bill (rang undang-undang) ini ditangguhkan supaya tidak membawa penganiayaan," katanya ketika membahaskan rang undang-undang itu

Beliau berkata terdapat pelajar sekolah mengambil daun ketum dengan merendamkannya di dalam air dan airnya dicampurkan dengan bahan seperti, ubat gegat, minuman tenaga dan ubat nyamuk bagi tujuan meningkatkan elemen khayal

Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) yang bersetuju dengan pelaksanaan pindaan itu kekal tetapi meminta penguatkuasaan undang-undang berkenaan ditangguhkan sehingga tempoh enam bulan bagi memberi penerangan kepada orang kampung tentang bahaya ketum. 

"Ramai orang kampung tidak faham undang-undang baharu ini kerana ketum telah menjadi satu perubatan tradisional untuk kesihatan seperti mengubati demam, kencing manis dan darah tinggi. Mereka tidak tahu memiliki ketum boleh jadi kesalahan," katanya

Bung Mokhtar juga mencadangkan agar ada satu kajian saintifik mengenai kebaikan ketum.

Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) mempersoalkan definisi umum terhadap kesalahan memiliki dan menggunakan ketum dalam pindaan itu, yang dilihat tidak mampu menghukum mereka yang benar-benar menyalahgunakan bahan tersebut untuk ketagihan dan tidak melindungi mereka menggunakan bahan itu bagi tujuan perubatan. 

"Dalam definisi pindaan ini menyatakan penggunaan ketum dimasukkan ke dalam tubuh. Ketum didefinisikan sebagai tumbuhan, bagaimana tumbuhan boleh dimasukkan di dalam tubuh," katanya.

Beliau berkata bagaimana untuk melakukan pendakwaan jika bahan ketum itu telah diproses menjadi dalam bentuk cecair dan telah ditapis lebihan bahannya.
daun ketum, Dewan Rakyat

Artikel Sebelum

GST Turunkan Harga Kereta

Artikel Berikut

Artikel Lain