suria

Kad Perjasa 1Malaysia Bukan Lindungi Pendatang Tanpa Izin - PPKPA

Kad Perjasa 1Malaysia untuk pekerja asing bagi kes yang dianiaya. Foto Astro Awani

KUALA LUMPUR: Pemberian kad Perjasa 1Malaysia yang kebanyakannya untuk pekerja asing yang dianiaya majikan adalah bertujuan menjaga kebajikan mereka dan bukan menjadikan mereka 'kebal' daripada undang-undang. 

Presiden Pusat Perlindungan dan Kaunseling Pekerja Asing (PPKPA), Amir Ibrahim berkata, sejak kad itu dikeluarkan kira-kira tiga tahun lepas, hampir 17,000 pendatang asing telah mendaftar dengan PPKPA.

"Sebelum kita berikan kad ini, kita akan semak data individu berkenaan untuk memastikan dia memang masuk secara sah dan teraniaya, kita pun tidak mahu melindungi pendatang asing tanpa izin," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Pada Isnin, media melaporkan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Mustafa Ibrahim sebagai berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan tegas terhadap pendatang asing tanpa izin yang memegang kad itu. 

Mustafa berkata, pihaknya menerusi Unit Risikan Pejabat Ketua Pengarah Imigresen sudah mengenal pasti pihak bertanggungjawab mengeluarkan kad berkenaan dan akan melakukan serbuan dalam tempoh terdekat. 

Mengulas lanjut, Amir berkata pihaknya akan mendapatkan penjelasan berhubung kenyataan Mustafa itu.

"Kad ini pula bukan menggantikan permit atau pasport dan ia tidak melangkaui undang-undang sedia ada.

"Ia merupakan kad yang diberikan kepada pendatang asing yang dianiaya, antaranya tidak mendapat gaji daripada majikan, permit yang tidak dapat disambung, ditipu ejen dan tidak diberikan layanan yang baik. 

"Kita juga tetap akan uruskan perolehan semula permit pekerja asing ini dengan Imigresen selepas kita berikan kad itu," kata Amir.

Kad Perjasa 1Malaysia

Artikel Lain