suria

Isu Hutang MB: Pertemuan Khalid Samad Dengan Peguam Tidak Berhasil

SHAH ALAM: Pertemuan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dengan dua peguam Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak membawa sebarang hasil apabila tiada penjelasan penuh diberikan peguam terbabit.

Khalid, yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat berkata, menteri besar melalui peguamnya gagal menjelaskan dengan lengkap soalan-soalan yang diajukan termasuklah kes hutang Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) yang diselesaikan di luar mahkamah sebelum ini.

"Peguam beliau memberitahu saya bahawa mereka telah membuat 'penyelesaian luar mahkamah', namun butirannya tidak boleh didedahkan kerana tidak mendapat lampu hijau daripada anak guamnya.

"Beliau sekadar mengesahkan 'ada bayaran' telah dibuat Tan Sri Khalid kepada BIMB sebagai sebahagian daripada penyelesaian tetapi tidak menyatakan jumlahnya," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, Khamis.

Khalid berkata, pertemuan beliau dengan dua peguam terbabit dilakukan setelah menteri besar bersetuju untuk memberi penjelasan lengkap kepadanya berhubung beberapa dakwaan dan perkara-perkara yang menimbulkan keraguan di kalangan ahli-ahli PKR terhadap dirinya.

Peguam Derek Fernandez dan Mathew Thomas Philip hadir dalam pertemuan selama kira-kira dua jam pada 16 Ogos lalu di sebuah hotel di sini.

Turut bersama beliau adalah Bendahari PAS Pusat, Asmuni Awi.

Dalam pertemuan itu beliau mempersoalkan bagaimana satu perjanjian besar tidak boleh didedahkan butirannya, apatah lagi ia melibatkan reputasi dan nama baik menteri besar.

"Tak mungkin ianya janji mulut sahaja atau perjanjian di atas kertas tisu," katanya, mengulangi pertanyaan yang diajukan kepada peguam Khalid.

Beliau menambah, selain sekadar menjawab 'above aboard' (tiada mencurigakan) atau 'tidak dibenarkan untuk mendedahkan butiran persetujuan' kerana masih belum mendapat persetujuan Khalid, peguamnya juga beberapa kali menghubungi Khalid bagi mendapatkan kebenaran berbuat demikian.

"Mathew berusaha menghubungi Khalid pada masa itu tetapi beliau tidak dapat dihubungi.

"Saya masih lagi menunggu Khalid bersetuju mendedahkan butiran itu dan sentiasa berhubung dengan peguamnya walaupun selepas pertemuan itu berakhir," katanya sambil menambah kali terakhir dia menghubungi peguam Khalid adalah pada 19 Ogos lalu.

Dalam pada itu, Khalid berkata peguam menteri besar juga menafikan kenyataan yang dibuat Pegawai Tugas-Tugas Khas Ekonomi dan Kewangan Menteri Besar, Azrul Azwa dalam akhbar Selangor Kini.

Laporan akhbar itu menyebut bahawa terdapat institusi kewangan dari Timur Tengah telah membayar hutang Khalid bagi menghalang penghakiman terhadap kaedah Bai'Bitaman Ajil yang dikeluarkan oleh mahkamah.

"Beliau (peguam) juga mengesahkan dakwaan bahawa BIMB telah menarik balik kes tersebut atas sebab Tan Sri Khalid telah berjanji akan membayar kepada BIMB apabila mendapat RM300 juta dari PNB selepas menang saman terhadap syarikat itu (PNB) adalah tidak benar," jelasnya.

Sambil menyatakan kekecewaannya terhadap Khalid, beliau berkata menteri besar sepatutnya mengambil peluang ini untuk menjelaskan segala persoalan dengan tepat dan tuntas.

Katanya, jika butiran perjanjian didedahkan dan benar-benar tidak mencurigakan, beliau sedia menasihati rakan-rakan di PKR supaya menghentikan serangan terhadap menteri besar.


PAS, PKR

Artikel Sebelum

Artikel Lain