suria

Isu MB: Hadi Nafi Namakan Azmin Lepas Menghadap Sultan

PETALING JAYA: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menafikan keputusan parti itu menamakan Mohamed Azmin Ali sebagai calon kedua menteri besar Selangor dibuat selepas beliau menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Selain itu Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Sultan Sharafuddin tidak pernah menitahkan Abdul Hadi menghadap baginda berhubung krisis politik membabitkan kerusi panas menteri besar.

"Pihak Pejabat Presiden PAS ingin membetulkan maklumat yang ditulis secara tidak tepat oleh Suhaizan seolah-olah wujud titah arahan tertentu oleh Tuanku Sultan Selangor mengenai isu menteri besar Selangor.

"Pihak kami ingin menjelaskan bahawa Datuk Seri Tuan Guru (Abdul Hadi) telah memohon mengadap tuanku pada hari raya keempat semperna Hari Raya Aidilfitri dan tidak ada sebarang titah arahan mengenai isu Menteri Besar Selangor," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Penafian itu dibuat berikutan artikel yang ditulis Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat yang mendedahkan bahawa keputusan menamakan Azmin sebagai calon kedua merupakan alternatif bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Tulis beliau, Azmin adalah 'jalan tengah' kepada pihak istana sekiranya calon asal yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak diterima Istana Selangor.

Sementara itu Suhaizan menerusi kenyataan berasingan menyifatkan artikelnya pada Selasa lalu bertajuk 'Meneroka Laluan Altenatif, Bukan U-Turn' telah disalah lapor oleh pihak media.

"Sebarang tanggapan berkaitan dengannya adalah tidak benar dan tersasar sama sekali daripada maksud rencana tersebut.

"Semoga penyataan ini akan membetulkan sebarang kekeliruan yang mungkin telah berlaku," katanya.


PAS

Artikel Lain