suria

Mayat Lelaki Ditemui Di Bilik Air Sebuah Kondominium

PETALING JAYA: Mayat seorang lelaki berusia 49 tahun hanya berseluar dalam ditemui tertiarap di dalam bilik mandi sebuah kondominium Tropicana City Mall pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim  berkata, kakak kepada lelaki tersebut membuat laporan polis selepas menemui mangsa tidak lagi bernyawa di kondominium tersebut kira-kira pukul 6 petang Rabu.

"Kakak mangsa membuat laporan polis bahawa lelaki tersebut tidak berkahwin dan tinggal bersendirian di kondominium terbabit sejak setahun yang lalu.

"Dia bertemu dengan mangsa buat kali terakhir pada 27 Julai lalu dan berbual dengannya menerusi telefon pada Sabtu lalu.

"Menurut kakaknya, mangsa seorang yang pendiam dan suka berahsia.

"Keluarganya juga tidak tahu mengenai pekerjaannya atau sama ada mangsa menghidap sebarang penyakit kronik," kata Azmi pada Khamis.

Azmi berkata, tiada kesan jenayah di pintu masuk rumah terbabit dan kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Terdapat kesan najis di pintu bilik air dan muntahan di atas katil.

"Kami mendapati tiada kesan kecederaan di tubuh badan mangsa.

"Kami percaya dia meninggal dunia dua hingga tiga hari yang lalu," katanya.

Namun, Azmi berkata polis masih menyiasat punca kematian lelaki itu dan mayatnya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.


mayat, lelaki, kondominium

Artikel Berikut

Artikel Lain