suria

Hanya Dua Letupan Bom Di Hatyai - Ketua Polis

Lokasi kejadian letupan di hadapan kedai serbaneka 7-Eleven di Hatyai.

HATYAI: Beberapa silinder gas memasak meletup apabila bom dalam sebuah kereta meletup di balai polis di sini, dengan memberi gambaran bahawa ia merupakan serangan bom berganda.

Ketua Polis Hatyai, Kolonel Passakorn Klanwan berkata, hanya terdapat dua letupan bom di hadapan kedai serbaneka 7-Eleven di Ponpichai Road bertentangan kolej teknologi dan satu lagi di kawasan balai polis.

"Beberapa letupan kedengaran kerana tangki gas meletup apabila kereta yang dipasang bom meletup di tapak pembinaan rumah pangsa, di dalam kawasan balai polis.

"Tangki-tangki gas yang meletup memberi gambaran bahawa ia merupakan serangan bom berganda," kata Passakorn.

Beliau berkata, bom yang pertama di pasang pada sebuah motosikal dan meletup pada pukul 1.45 petang, memusnahkan beberapa motosikal yang diletakkan di hadapan kedai serbaneka 7-Eleven dan beberapa kedai berdekatan.

Bom kedua, yang terletak kira-kira 2 kilometer dari bom pertama meletup 10 minit kemudian di dalam kawasan balai polis, memusnahkan kira-kira 30 kereta yang disita polis.

Passakorn berkata, motosikal yang digunakan untuk dipasang bom itu dilaporkan hilang di Yala pada tahun lepas.

Empat belas orang cedera dalam dua letupan itu, menyaksikan insiden keganasan yang menggemparkan daerah di selatan Thailand sekali lagi selepas letupan yang mengorbankan banyak nyawa di Hotel Lee Gardens Plaza pada 2012.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain