suria

Kapal Asing Perlu Ikut Laluan Sah Ke Esszone - Zahid

LAHAD DATU: Kabinet Persekutuan memutuskan semua kapal dan bot asing yang ingin memasuki perairan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) perlu melalui laluan yang telah diwartakan berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Kabinet Persekutuan turut menguatkuasakan peraturan agar semua pemilik bot atau kapal tempatan didaftarkan.

Beliau berkata langkah drastik ini penting bagi memudahkan pemantauan kapal atau bot yang keluar masuk di perairan negara, sekali gus membantu membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan.

"Kita bukan berniat untuk menyusahkan siapa-siapa termasuk pemilik kapal asing yang ingin memasuki negara ini, sebaliknya langkah ini kita ambil atas faktor keselamatan.

"Kita mahu menentukan jenayah kes penculikan atau pencerobohan tidak berulang," katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan penternakan ikan dalam sangkar di Pulau Baik, Rabu malam.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Mohammad Mentek.

Mengulas mengenai kejadian penculikan membabitkan pengurus syarikat penternakan ikan dalam sangkar di Pulau Baik awal pagi semalam, Ahmad Zahid berkata Kabinet memandang serius kejadian itu dan mengarahkan Esscom untuk meningkatkan kawalan keselamatan di seluruh 10 daerah di Esszone.

"Kita minta Esscom mengatur strategi untuk menambah kekuatan termasuk tambahan anggota keselamatan dan aset sedia ada di kawasan yang berisiko tinggi," katanya.

Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata kerajaan Persekutuan sedang merangka jangka masa pendek dan jangka panjang bagi memantapkan lagi kawalan keselamatan di Esszone.

"Bagi jangka pendek kita akan menempatkan segera anggota dan aset-aset sedia ada di kawasan yang dikenal pasti menjadi laluan penjenayah rentas sempadan termasuk kebolehan memintas kapal atau bot yang digunakan oleh penjenayah.

"Dalam jangka panjang kita akan membeli aset baharu khususnya yang akan ditempatkan di Esscom," katanya.

Katanya, tujuh lagi pos kawalan akan diwujudkan di kawasan Esszone bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan rakyat Sabah sentiasa terjamin.

Beliau berkata Majlis Keselamatan Negara akan menyediakan laporan penuh berhubung kes penculikan di Pulau Baik itu termasuk daripada Esscom untuk dibentangkan kepada Kabinet Persekutuan.

Dalam kejadian pada 2.45 pagi semalam, sekumpulan lelaki bersenjata menculik warga China, Yang Zai Lin, 34, pengurus syarikat ternakan ikan dalam sangkar di Pulau Baik yang terletak kira-kira 23 kilometer dari pekan Lahad Datu.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata beliau, Shahidan dan Mohammad akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman yang juga Pengerusi Esscom di Kota Kinabalu esok.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain