suria

Perlaksanaan Hudud Belum Jelas - Ka Siong

SHAH ALAM: MCA tetap menolak cadangan kerajaan PAS Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud kerana kerana pelaksanaannya dilihat masih tidak jelas.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong berkata ini kerana masyarakat bukan Islam melihat perkara ini sebagai ada kaitan dengan agenda politik PAS.

"Mengapa pada pilihan raya umum lepas, mereka tidak berani sebut tentang perkara ini dalam manifesto pilihan raya mereka?

"Jadi apabila mereka nak buat sekarang, sudah tentu wujud pelbagai fahaman dan perspektif berbeza daripada kalangan masyarakat bukan Islam mengenai perkara ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Wacana Sinar Harian Siri 27 bertajuk 'Hudud: Bersediakah Kita?' di Kompleks Karangkraf di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas komentarnya berhubung pelaksanaan hudud selepas menjadi anggota panel dalam wacana itu.

Turut menganggotai panel berkenaan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah; Timbalan Pengarah Institut Wasatiyah Malaysia, Dr Mushaddad Hasbullah dan bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Mengulas lanjut, Wee berkata MCA tidak menentang Islam malah menghormatinya sebagai agama rasmi negara dan turut mempertahan perlembagaan sedia ada.

"Saya rasa tiada masalah kepada kerajaan Persekutuan untuk memperkukuh undang-undang syariah sedia ada," katanya.

Sementara itu, Mohd Amar berkata Kelantan bersedia membawa usul rang undang-undang persendirian (hukum hudud) di Parlimen selewat-lewatnya November ini.

Beliau berkata ini kerana draf undang-undang itu telahpun siap dan majoriti rakyat bukan Islam di Kelantan turut menyokong pelaksanaan hukum hudud.

Terdahulu, Mushaddad dan Mohd Asri yang turut menyokong pelaksanaan hudud, meminta kerajaan negeri Kelantan menangguh serta mengkaji semula hukum itu yang dilihat belum sesuai dilaksanakan pada masa ini.
MCA, PAS, Hudud

Artikel Sebelum

Artikel Lain