suria

CCTV Persendirian Akan Dihubungkan Ke Pusat Kawalan Polis

PETALING JAYA: Malaysia tidak lama lagi akan mempunyai puluhan ribu kamera litar tertutup (CCTV), yang dihubungkan dengan ibu pejabat polis kontinjen Bukit Aman dan negeri untuk memantau semua sudut dan lorong, bagi meningkatkan keselamatan awam.

Inisiatif tersebut digelar sebagai "Safecam Partnership" (perkongsian kamera keselamatan, apabila polis memperkenalkan kaedah lebih baik untuk menghubungkan CCTV milik persendirian ke pusat kawalan berpusat (CCC) di ibu pejabat polis dan negeri.

Ia selaras dengan konsep 'Bersatu Menentang Jenayah', yang merupakan kerjasama di antara kuasa dan pemilik premis persendirian dalam membentuk rangkaian CCTV terbesar di negara ini.

Sebilangan besar pemilik premis swasta telah bersetuju untuk mendaftarkan peranti CCTV mereka dengan pihak polis, yang membolehkan agensi penguat kuasa undang-undang mempunyai akses kepada kamera mereka apabila mereka diperlukan.

Peringkat pertama program ini telah pun bermula, dengan memberi tumpuan kepada kawasan panas bagi aktiviti jenayah di enam negeri iaitu Johor, Selangor , Melaka , Negeri Sembilan, Kedah dan Kelantan.

Lebih 3,340 CCTV dihubungkan dengan pusat arahan di bawah kontinjen polis negeri.

Johor merupakan negeri perintis bagi pelaksanaan itu dengan 1,176 CCTV sejak 14 Oktober 2012.

Inisiatif itu meningkat dengan 178 CCTV di Melaka dan 1,415 CCTV di Selangor pada 21 November dan 13 Disember tahun lepas.

Negeri Sembilan dan Kedah masing-masing dengan 33 dan 436 CCTV.

Kelantan merupakan negeri yang terbaharu dalam pelaksanaan program ini dengan 111 CCTV.

Di Selangor, sebanyak 50 pembesar suara turut dipasang bersama-sama dengan CCTV di kawasan panas yang dipilih untuk memberi amaran kepada orang ramai.

Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah Bukit Aman, Datuk Ayub Yaakob berkata, matlamat program ini adalah untuk menghubungkan 40,282 CCTV ke CCC polis pada tahun ini.

"Sebanyak 3,361 syarikat dari sektor awam dan swasta memberikan kerjasama dengan 40,282 CCTV dalam inisiatif Safecam. Kami menjangkakan perjanjian untuk ditandatangani dan dipersetujui menjelang akhir tahun ini," katanya kepada The Star pada Khamis.

Ayub berkata, di bawah program tersebut, pemilik premis atau perniagaan perlu untuk membekalkan CCTV, dengan kapasiti simpanan 30 hari dan resoulsi 420TVL (Talian TV) dengan kos mereka sendiri.

"Ia turut menetapkan bahawa polis perlu mempunyai akses kepada rakaman itu atas permintaan. Di pihak kami, pihak polis akan meningkatkan rondaan di premis ini dan menjalankan perbincangan berterusan untuk meningkatkan program itu," katanya.

Ayub berkata, program itu menjurus ke arah kepolisan moden dengan mengintegrasikan rangkaian CCTV syarikat swasta dan agensi kerajaan di seluruh negara.

"Ia berasaskan satu sistem yang digunakan di England bagi kepentingan keselamatan awam," katanya.

Ayub berkata, polis juga bekerjasama dengan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk memasang lagi 496 CCTV di kawasan panas aktiviti jenayah pada tahun ini.

"Kami akan menentukan lokasi CCTV menerusi perbincangan dengan majlis-majlis tempatan masing-masing," katanya.

Jabatan itu, katanya, juga merancang untuk memperluaskan program Safecam ke sekolah-sekolah dan pusat membeli-belah untuk mencegah rompakan di tepi jalan, terutama kes ragut.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, inisiatif itu akan memberi manfaat kepada usaha untuk memerangi jenayah apabila rakaman itu boleh disebarkan dengan cepat kepada pihak polis.

"Polis akan dapat menggemblengkan tenaga kerja dengan lebih sistematik. Ia benar-benar merupakan satu langkah yang progresif ke arah kecekapan yang lebih tinggi daripada pasukan polis," katanya.

Beliau bagaimanapun mengingatkan syarikat-syarikat dan pihak polis dalam program itu untuk mengelakkan sebarang bentuk penyalahgunaan.

cctv, safecam

Artikel Lain