suria

Mangsa Di Beaufort Meningkat Hampir 2,500 Orang Setakat 6 Petang

BEAUFORT: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di daerah ini meningkat sedikit kepada 2,449 orang setakat 6 petang berbanding 2,418 mangsa tengah hari Isnin.

Menurut jurucakap bilik gerakan banjir Beaufort, mangsa banjir yang terdiri daripada kira-kira 710 keluarga itu ditempatkan di enam pusat pemindahan.

"Beberapa kawasan masih dinaiki air kerana hujan tidak berhenti-henti sejak tengah hari dan penduduk diarahkan berpindah," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun jurucakap itu berkata, paras air Sungai Padas pula menurun sedikit kepada 8.83 meter berbanding 8.87 meter tengah hari tadi, namun masih melebihi paras bahaya pada 8.70m.

Di Tenom keadaan banjir sudah pulih dan semua pusat pemindahan ditutup.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Datuk Jame Alip berkata, sebanyak 12 sekolah di Beaufort masih ditutup akibat banjir melibatkan 3,212 pelajar.

Katanya, sekolah berkenaan ditutup sama ada dinaiki air atau digunakan sebagai pusat pemindahan. - BERNAMA

Artikel Lain