suria

KWSP Umum Dividen 6.35 Peratus Untuk Tahun 2013, Lebih Tinggi Berbanding 2012

Samsudin Osman
Samsudin Osman

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada Ahad mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 6.35 peratus untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013 bagi ahlinya, iaitu peningkatan berbanding tahun 2012.

Tahun lepas KWSP mengisytiharkan dividen sebanyak 6.15 peratus.

Pengerusi Lembaga KWSP Tan Sri Samsudin Osman dalam kenyataan di sini pada Ahad berkata, ini merupakan bayaran dividen paling tinggi sebanyak RM31.20 bilion kepada ahlinya, peningkatan 13.66 peratus berbanding RM27.45 bilion pada 2012.

Beliau berkata penyata akaun KWSP yang telah dikredit dividen 2013 boleh disemak mulai sekarang secara atas talian melalui i-Akaun di laman web myEPF www.kwsp.gov.my

"Ahli juga boleh mendapatkan penyata akaun mereka dari Kios KWSP atau cawangan KWSP yang berdekatan mulai Isnin, 17 Februari 2014," katanya.

Tambah beliau, maklumat dividen 2013 boleh diperoleh menerusi laman Facebook KWSP, di pejabat KWSP, Twitter KWSPBuzz dan YouTube.

Beliau berkata kadar dividen ini diisytiharkan hasil daripada pendapatan pelaburan kasar yang mencatat rekod tertinggi sebanyak RM35 bilion, meningkat 12.81 peratus daripada RM31.012 bilion yang dicatat pada 2012.

"Pembayaran dividen 2013 diperoleh setelah ditolak peruntukan rugi terjejas bersih ke atas aset kewangan, perbelanjaan pelaburan dan operasi, caj berkanun serta dividen untuk pengeluaran," katanya.

Samsudin berkata ekuiti muncul sebagai penyumbang terbesar kepada pendapatan pelaburan kasar KWSP pada 2013, menjana RM19.52 bilion pendapatan, peningkatan ketara sebanyak 40.39 peratus berbanding RM13.90 bilion yang dicatat pada 2012.

"Portfolio ekuiti KWSP menjana pulangan nyata dua angka, mengatasi prestasi dana lain yang sama," tambah beliau.

Beliau berkata prestasi kukuh dalam portfolio ekuiti telah disokong oleh indeks domestik dan global yang mencapai paras tertinggi, berikutan keyakinan pelabur terhadap kestabilan dan kekuatan asas ekonomi pasaran domestik selepas berakhirnya pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Menurut beliau, dengan jumlah ahli KWSP meningkat kepada lebih 13 juta, sebanyak RM4.91 bilion diperlukan untuk membayar setiap satu peratus kadar dividen bagi 2013.

Ini merupakan 10.06 peratus lebih tinggi berbanding RM4.46 bilion yang dibayar untuk setiap satu peratus kadar dividen pada 2012.

Amaun yang diperlukan untuk membayar satu peratus kadar dividen akan terus meningkat antara lapan dan sembilan peratus setahun, jelasnya.

"Di sebalik kelembapan ekonomi global dan ketidaktentuan kewangan, KWSP tetap teguh dan pencapaiannya adalah bukti usaha dan inisiatif berterusan pengurusan KWSP untuk mengekalkan kestabilan kewangan dalam jangka panjang," kata beliau.

Jelas Samsudin, dengan strategi pelaburan berhemah dan mantap, prestasi KWSP adalah konsisten dan stabil, terutamanya untuk lima tahun yang lepas.

"Sejak tahun-tahun kebelakangan ini, KWSP telah mempelbagaikan portfolio dengan memperluaskan skop aset pelaburan bagi menguruskan risiko pasaran dan menjana pulangan yang konsisten," tambah beliau. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain