suria

Jalan Susur KL Ke Jalan Maarof Ditutup 18, 19 Februari

KUALA LUMPUR: Jalan susur dari Kuala Lumpur ke Jalan Maarof, bahagian yang mendaki bukit ke arah Pusat Beli-belah Bangsar, akan ditutup pada 18 dan 19 Feb dari pukul 10 malam hingga 5 pagi bagi kerja-kerja menanggalkan kekuda keluli di Persimpangan Bertingkat Maarof.

Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dalam kenyataan hari ini berkata penutupan itu adalah antara langkah keselamatan penting yang diambil di semua tapak pembinaan MRT.

Katanya ketika penutupan itu, kenderaan yang ingin menuju ke Jalan Maarof, akan dilencongkan ke Pusat Bandar Damansara dan perlu membuat pusingan "U" jauh di hadapannya sebelum masuk ke jalan menghala ke Jalan Maarof.

Di samping itu, lencongan trafik di Persiaran Surian (menghala Sungai Buloh) antara Pangsapuri Cempaka dan Pangsapuri Seroja akan diteruskan dari 18 hingga 24 Februari dari pukul 10 malam hingga 6 pagi.

Syarikat itu berkata kenderaan dari Sunway Giza ke Sungai Buloh akan dilencongkan ke Jalan Teknologi berhampiran Pusat Perubatan Tropicana, tetapi kenderaan menghala ke Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) tidak terlibat dengan lencongan itu.

"Penutupan bahagian berkenaan dilakukan untuk memudahkan pergerakan jentera dan mesin pembinaan besar yang digunakan dalam pembinaan jejambat MRT.

"Kerja dilakukan pada waktu malam demi keselamatan orang ramai dan untuk mengurangkan kesan trafik di Persiaran Surian," katanya.

Kenyataan itu juga memaklumkan bahawa sebahagian Jalan Cheras iatu antara persimpangan lampu trafik di hadapan Menara PGRM dan Stesen LRT Maluri, akan ditutup dari 18 Feb hingga 16 April pada sepanjang masa.

"Penutupan laluan sepanjang 50 meter ini melibatkan lorong paling kiri jalan berkenaan bagi memudahkan kerja memasang penyangga dalam kerja pembinaan Stesen LRT Maluri," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain