suria

APMM Rampas 1,630 Karton Rokok Bernilai RM163,000

JOHOR BARU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Johor Baharu Wilayah Selatan merampas 1,630 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM163,000, termasuk cukai eksais dan duti import, yang dipercayai cuba diseludup ke Tanjung Piai, Pontian pada Jumaat.

Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim Johor Baru, Kapten Maritim Aminuddin Abd Rashid berkata semasa meronda di lokasi panas yang disyaki kawasan penyeludupan di sekitar perairan itu, sepasukan empat anggota mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan memasuki perairan negara menuju ke Ayer Baloi, Pontian.

"Apabila pihak kami cuba menghampiri, bot pancung terbabit terus memecut laju menuju ke daratan dan 20 minit kemudian bot suspek dapat dipintas di muara sungai Ayer Baloi.

Namun dua suspek dipercayai tekong dan seorang awak-awak meloloskan diri dengan terjun ke laut dan berenang ke pantai berhampiran," katanya dalam satu kenyataan.

APMM juga merampas sebuah bot fiber berukuran tujuh meter panjang berserta sebuah enjin sangkut Yamaha Enduro 200 kuasa kuda dianggarkan bernilai RM40,000 dan kesemua hasil rampasan dibawa ke Jeti Kastam Sungai Pulai untuk tindakan lanjut.

Dalam kes berasingan pada hari yang sama, APMM turut menahan sebuah kapal MT Chulan 1 yang didaftarkan di Port Klang yang berlabuh tanpa kebenaran kira-kira 1.7 batu nautika di barat daya Tanjung Piai, Pontian pada 1.35 petang selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran daripada Pengarah Laut Malaysia.

"Terdapat 20 kru terdiri daripada seorang warganegara Malaysia dan 19 warganegara Myanmar berumur antara 20 hingga 58 tahun di atas kapal itu," kata Aminuddin.

Katanya pemilik kapal boleh didakwa di bawah seksyen 491B (1) (l) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 dan Seksyen 3, Akta Dius Api Persekutuan 1953 iaitu berlabuh di kawasan yang tidak dibenarkan tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia dan gagal membayar Dius Api.

"Jika didapati bersalah, pemilik kapal boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali," kata beliau. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain