suria

Muhyiddin Turun Padang Tinjau Harga Barang Di Kuching

KUCHING: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meneruskan program sempena lawatan tiga hari ke Sarawak dengan melakukan tinjauan mesra dan pemeriksaan harga barangan di Pasar e-Mart, Jalan Matang, Petra Jaya.

Dalam tinjauan hampir sejam itu, beliau diiringi Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek, Timbalan Menteri Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah serta Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Turut sama Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof, yang juga anggota Parlimen Petra Jaya, dan Menteri Muda Pembangunan Insfrastruktur yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Tupong Datuk Daud Abdul Rahman.

Sepanjang tinjauan itu, Muhyiddin turut beramah mesra dengan peniaga serta pelanggan, selain bertanya mengenai harga barangan di pasar berkenaan.

Roman Abdul Rahaman, 29, peniaga di kedai runcit di pasar itu berkata walaupun hanya berkesempatan berbual lima minit dengan Muhyiddin, peluang itu amat bermakna kepada beliau.

"Beliau (Muhyiddin) bertanya tentang harga barangan, dari mana barang-barang jualan diperoleh serta peniagaan saya bagus atau tidak. Beliau turut memberi nasihat agar tidak menaikkan harga barang sewenang-wenangnya," katanya kepada Bernama.

Azmi Wahab, 25, yang datang ke pasar itu bersama isteri serta anak lelaki untuk membeli barangan keperluan di pasar itu, nyata gugup namun gembira serta terharu apabila disapa oleh Muhyiddin.

"Memang rasa 'gementar' bila Timbalan Perdana Menteri bertanya pelbagai soalan kepada saya terutama berkenaan harga barang-barang keperluan di pasar ini.

"Beliau bertanya sama ada harga barangan yang dijual di pasar ini berpatutan atau tidak, saya jawab setakat ini okey saja sebab itu saya sering berbelanja di sini," katanya.

Azmi berkata tinjauan yang dilakukan sendiri oleh Muhyiddin itu membuktikan pemimpin negara turut memberi perhatian kepada masalah rakyat terutama melibatkan harga barangan.

"Bagus bila mereka (pemimpin) buat macam ini, turun pantau harga barang-barang, bila buat macam ini peniaga akan nampak harga barangan diberi perhatian dan mungkin akan dapat membendung kenaikan harga barangan," katanya.

Moureen Bala, 48, pengusaha katering mengambil kesempatan ketika disapa oleh Muhyiddin untuk meluahkan mengenai harga sayur-sayuran yang tidak menentu dan kadangkala naik sehingga 20 peratus.

"Saya beritahu dia (Muhyiddin), harga tak sama ikut pasar, contoh di Pasar Batu 7 Kuching harga kacang panjang kadang kala naik sampai 20 peratus yang saya pelik di pasar ini (pasar e-mart) tidak naik pula. Bila diberitahu perkara tersebut, beliau berkata akan mengambil maklum mengenai perkara itu," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Mungkin Tanding Di Kajang

Artikel Lain