suria

Perletakan Jawatan Waytha Moorthy Tidak Signifikan - MIC

S. Murugesan.
S. Murugesan.

PETALING JAYA: Perletakan jawatan Pengerusi Hindraf, P. Waytha Moorthy sebagai timbalan menteri tidak akan membuat banyak perbezaan kepada kedua-dua MIC dan masyarakat India, kata Bendahari Agung MIC, Datuk S. Murugesan.

Beliau mendakwa, sejak Waytha Moorthy dilantik memegang jawatan itu, tidak banyak perubahan dari segi penyampaian di pihaknya.

"Saya tidak tahu sebab-sebab yang tepat untuk beliau meletakkan jawatan tetapi kami percaya Barisan Nasional akan diteruskan dan terus berkhidmat kepada negara.

"Apabila dia (Waytha Moorthy) dilantik (memegang jawatan), MIC menyambut baik dan menghulurkan tangan untuk bekerjasama dengan beliau tetapi sudah tentu, dia menjauhkannya.

"Dia mahu berundur sendiri, jadi apa yang boleh kita katakan?" kata Murugesan pada Sabtu.

Ketika ditanya sama ada MIC akan mempertimbangkan untuk mencadangkan wakilnya bagi menggantikan kedudukan Waytha Moorthy, Murugesan berkata, perkara itu belum dibincangkan lagi kerana peletakan jawatan tersebut dibuat secara tiba-tiba.

Hindraf yang mengeluarkan kenyataan pada Sabtu berkata, Waytha Moorthy yang merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, akan berhenti dari memegang semua jawatan dalam Kerajaan dan Dewan Negara pada Isnin.

Artikel Lain