suria

Esscom Terima Satu Lagi Briged PGA Di Sandakan

LAHAD DATU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) akan menerima tiga lagi batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) di bawah satu briged yang berpangkalan di Sandakan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata batalion PGA itu akan ditempatkan di Kudat, Beluran, dan Sandakan untuk memantapkan lagi pertahanan keselamatan di kawasan pantai timur Sabah atau keselamatan rakyat di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

"Penambahan satu lagi briged PGA untuk Esscom itu telah diluluskan oleh perdana menteri dan sebaik sahaja kita menerima perjawatan tersebut kita akan melakukan proses pengambilan dan ia dijangka dilaksanakan selewatnya pada hujung tahun ini," katanya.

Bercakap pada sidang media selepas menyampaikan Pingat Kedaulatan Negara kepada 250 pegawai dan anggota polis di sini Jumaat, beliau berkata keutamaan akan diberi kepada anggota dari Sabah dan Sarawak dalam proses pengambilan anggota briged itu.

"Sementara kita mengisi perjawatan itu, kita akan menggunakan khidmat anggota PGA di seluruh negara untuk membantu meningkatkan kawalan keselamatan di pantai timur Sabah dan kita juga akan menggunakan sepenuhnya kekuatan yang sedia ada termasuk kekuatan dari Semenanjung dan Sarawak," katanya.

Setakat ini Sabah mempunyai satu briged PGA yang berpangkalan di pantai barat Sabah, kata Khalid.

Sementara itu, beliau berkata jalinan kerjasama strategik dengan Angkatan Tentera Malaysia serta lain-lain agensi kerajaan dan swasta melalui Pelan Tindakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) akan dipertingkatkan.

"Sekarang ini kita lihat Esscom adalah satu contoh NBOS iaitu jalinan kerjasama untuk satu tujuan keselamatan dan keamanan negara, " katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Khalid berkata penyampaian Pingat Kedaulatan Negara adalah satu bentuk penghargaan kepada anggota pasukan keselamatan di atas jasa, keberanian, bakti dan pengorbanan mereka sepanjang menyertai Operasi Daulat semasa peristiwa pencerobohan di Lahad Datu awal tahun lepas.

Beliau berkata majlis penyampaian pingat itu akan diteruskan dari semasa ke semasa kerana masih ada pegawai dan anggota yang terlibat belum menerima pingat tersebut.

"Pastinya semua penerima pingat itu bukan calang-calang dari sudut keperibadian dan latar belakangnya, malahan mereka dianggap sebagai perwira negara yang berjuang demi mempertahankan kedaulatan negara," katanya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pesuruhjaya Polis SabahDatuk Hamza Taib dan Ketua Pengarah Esscom Datuk Mohammad Mentek. BERNAMA

Artikel Lain