suria

Penagih Dadah Dikhuatiri Mati Lemas Selepas Terjun Sungai

KOTA KINABALU: Seorang lelaki dipercayai penagih dadah dikhuatiri mati lemas selepas bertindak terjun ke Sungai Padas di Beaufort kira-kira 97km dari sini, ketika melarikan diri daripada polis Rabu.

Lelaki berusia lingkungan 20-an itu bertindak demikian apabila bertembung dengan sepasukan enam anggota polis yang sedang menjalankan rondaan di kawasan Hospital Beaufort.

Ketua Polis Daerah BeaufortDSP Mustafa Maarof berkata kejadian kira-kira 5 petang itu, lelaki itu telah meninggalkan beg yang mengandungi syabu seberat tiga gram.

"Apabila lelaki itu ternampak sepasukan anggota polis, dia terus melarikan diri ke belakang tokong Cina sebelum terjun ke dalam sungai itu," katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya setakat ini pihak polis masih belum mengetahui keadaan dan identiti lelaki itu.

"Penduduk kampung yang berdekatan diminta agar memaklumkan kepada pihak polis sekiranya terdapat maklumat mengenai suspek," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Mohd Affendi K. Ramin berkata Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort menerima maklumat dari polis pada 6.13 petang dan sebuah jentera dengan kekuatan empat anggota dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu operasi mencari dan menyelamat.

"Maklumat awal mendapati mangsa pada mulanya kelihatan berada di tengah sungai dan seterusnya hilang. Operasi ditangguhkan 6.45 petang tadi," katanya ketika dihubungi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain