suria

Bekas Timbalan Menteri Pelajaran Meninggal Dunia

Allahyarham Bujang Ulis
Allahyarham Bujang Ulis

KUCHING: Bekas Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Bujang Ulis, 66, meninggal dunia di kediamannya di Kampung Semariang Jaya, Petra Jaya di sini awal pagi Isnin.

Allahyarham yang juga bekas Timbalan Menteri Perusahaan Utama meninggalkan seorang isteri Maimunah Sebli, 58, dan tujuh orang anak perempuan berumur antara 12 hingga 36 tahun.

Menurut anak sulung Allahyarham, Siti Azimah, 36, bapanya rebah pada kira-kira 1 pagi di pangkuan ibunya ketika berada di dalam bilik, sebelum disahkan meninggal dunia pada 1.30 pagi.

"Arwah sempat menonton televisyen ketika di dalam bilik sebelum rebah di pangkuan ibu. Sepanjang pengetahuan kami sekeluarga, arwah ayah tidak mempunyai sebarang penyakit kronik," katanya ketika ditemui pemberita di kediaman allahyarham.

Beliau berkata jenazah bapanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang selepas solat Zuhur hari ini.

Allahyarham sebenarnya mempunyai sembilan anak perempuan, bagaimanapun dua daripadanya meninggal dunia dalam kejadian kebakaran yang memusnahkan rumahnya di Batu Kawa di sini pada malam terakhir bulan Ramadan 1998.

Antara yang dilihat hadir menziarahi jenazah Allahyarham di kediamannya ialah anggota Kabinet Sarawak antaranya Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun Simunjan) dan Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (Adun Asajaya).

Turut hadir bekas Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abang Ahmad Urai Abang Mohideen dan bekas Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Jamil Johari.

Artikel Lain