suria

Perisian Tiruan Dirampas Di Kilang Acuan

GEORGE TOWN: Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang semalam menyerbu dua buah kilang milik sebuah syarikat berasaskan industri pembuatan acuan di Perai dan Simpang Ampat serta merampas 15 salinan perisian tiruan bernilai RM45,300.

Antara perisian yang dirampas ialah pelbagai versi Microsoft Window dan Microsoft Office serta lima buah komputer.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Negeri, Abdul Rosik Yakub berkata syarikat yang beroperasi sejak 1990-an itu turut membekal produk mereka kepada beberapa syarikat bertaraf multinasional dalam bidang automatif, elektronik dan telekomunikasi.

Kes disiasat mengikut Akta Hak Cipta 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda maksimum RM20,000 bagi setiap satu salinan dan minimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Beliau berkata tahun lepas KPDNKK Pulau Pinang melakukan 15 operasi dengan nilai rampasan RM400,000 membabitkan kesalahan di bawah Akta Hak Cipta 1987. BERNAMA

Artikel Lain