suria

MB Selangor Umum Anwar Bertanding DUN Kajang

PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan bahawa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang sekiranya pilihan raya kecil diadakan.

Abdul Khalid berkata keputusan tersebut dibuat selepas perbincangan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang diadakan pagi Selasa.

"Kita telah adakan perbincangan untuk tentukan calon bagi pertandingan kerusi tersebut (Kajang) dan telah dipersetujui bahawa Pakatan Rakyat akan meletakkan calon PKR bagi pilihan raya kecil Kajang.

"PKR bersetuju meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon yang akan bertanding," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Selasa.

Hadir sama Anwar, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Pengumuman itu dibuat selepas kerusi DUN Kajang kosong apabila penyandangnya, Lee Chin Cheh meletak jawatan secara tiba-tiba pada Isnin.

Abdul Khalid berkata keputusan tersebut dibuat dengan harapan untuk mempertingkatkan prestasi parti dan sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat pada masa hadapan.

Katanya, perjuangan PKR sentiasa menuju ke arah yang lebih baik dan bertambah kuat sejak dulu.

"Pada 2008 kita mula menang dalam keadaan lebih baik dari satu kerusi bertambah kepada 30 kerusi.

"Pada 2013 kita menang majoriti dari segi jumlah pengundi tapi kalah dari segi jumlah kerusi...sebab itu pada kali ini, pada pilihan raya akan datang kita kena kuatkan sampai ke satu tahap bukan sahaja undi banyak, kerusi pun lebih banyak," katanya.

Ditanya sama ada beliau bersetuju Anwar diletakkan sebagai calon bertanding di Kajang beliau berkata: Kalau tak setuju saya tak ada di sini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain