suria

Cakera Keras Bernilai RM4 Juta Dilarikan Empat Perompak

PETALING JAYA: Sebuah lori 20 tan yang membawa cakera keras (hard disk) yang dianggarkan bernilai RM4 juta dirompak empat lelaki di SS8, berhampiran kilang pengeluar pemacu cakera keras Western Digital di sini, malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata lori yang dikendali pemandu lori berumur 44 tahun dihalang tiga buah kereta jenis Hyundai Sonata, Proton Waja dan BMW yang dipandu suspek, kira-kira 200 meter dari kilang berkenaan untuk membawa muatan itu ke negeri lain dalam kejadian kira-kira 11.15 malam.

Empat suspek dalam lingkungan 20-an kemudian bertindak memecahkan cermin lori berkenaan dengan menggunakan parang dan mengarahkan pemandu lori itu untuk keluar dari kenderaan itu, katanya ketika dihubungi Bernama Rabu.

Tiga suspek kemudian bertindak merampas dan melarikan lori berkenaan manakala seorang lagi suspek meninggalkan tempat kejadian dengan kereta BMW.

Arjunaidi berkata Hyundai Sonata dan Proton Waja yang ditinggalkan di tempat kejadian merupakan kereta curi yang dilaporkan hilang di Kampung Subang.

Beliau berkata pemandu lori itu bagaimanapun tidak dicederakan suspek namun kini dirawat di hospital berhampiran kerana mangsa mempunyai masalah jantung.

Katanya buat masa ini tiada tangkapan dilakukan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Mohd Adnan Abdullah ketika dihubungi Bernama mengesahkan muatan cakera keras yang dilarikan itu dianggarkan bernilai RM4 juta. - BERNAMA

Artikel Lain