suria

Kadar Kemalangan Jalan Raya Di KL Turun Tahun Lepas

KUALA LUMPUR: Kadar kemalangan jalan raya yang dicatat di Kuala Lumpur sepanjang tahun lepas berkurangan berbanding tahun 2012, kata Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Wilayah Persekutuan, Muhammad Heeza Hassan.

Beliau berkata, statistik Polis Trafik Kuala Lumpur menunjukkan sebanyak 63,020 kes kemalangan jalan raya dicatat tahun lepas berbadning 63,217 pada 2012.

"Jumlah kematian juga menurun daripada 242 orang kepada 232 orang pada tahun lepas," katanya selepas Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baharu Cina yang akan disambut 31 Januari ini, di Plaza Tol Duta di sini Rabu.

Kempen itu turut mendapat kerjasama syarikat insurans Allianz Malaysia yang dihadiri Ketua Pegawai Jualan Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad, Horst Habbig.

Muhammad Heeza berkata, penurunan kadar itu mungkin disebabkan aktiviti penguatkuasaan bersepadu yang berterusan daripada pelbagai agensi.

Pada kempen itu, sebanyak RM1,000 pelekat reflektif yang direka khas, 50 jaket keselamatan reflektif dan 20 kerusi Booster Keselamatan Kanak-kanak diedarkan Allianz Malaysia kepada pengguna jalan raya yang melalui plaza tol itu.

Allianz Malaysia juga menaja pertukaran 50 topi keledar yang tidak selamat dan lama atau tidak diluluskan Sirim. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain