suria

KPWKM Sedia Hantar Pegawai JKM Ke Sweden Bincang Kebajikan Empat Beradik

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedia menghantar pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ke Sweden bagi membantu empat anak pasangan rakyat Malaysia yang kini ditahan reman di Stockholm.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, kehadiran pegawai JKM adalah untuk berbincang dengan pihak kebajikan Sweden demi kesejahteraan anak kakitangan Tourism Malaysia dan isterinya itu.

"Kementerian amat prihatin dengan nasib yang menimpa empat beradik yang diperintahkan oleh pihak berkuasa Sweden untuk dijaga oleh keluarga angkat susulan mendapat laporan dipukul oleh ibu bapa kerana tidak solat.

"Dalam masa yang sama, kementerian berharap satu jalan penyelesaian yang terbaik dapat dicapai untuk kebaikan kedua-dua pihak," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Azizul Raheem Awalludin, seorang pegawai Tourism Malaysia di Stockholm dan Shalwati Norshal, guru yang bercuti tanpa gaji, ditahan pada 18 Disember lalu dan tahanan reman mereka dilanjutkan selama dua minggu lagi.

Pasangan itu ditahan untuk membantu siasatan kerana didakwa memukul tangan seorang daripada anak mereka yang tidak bersolat.

Berikutan itu, keempat-empat beradik berusia 7, 11, 12, dan 14 tahun kini ditempatkan bersama keluarga angkat yang disediakan pihak khidmat sosial Sweden sejak ibu bapa mereka ditahan.

Artikel Lain