suria

Tindakan Tegas Terhadap Anggota Polis Cuai - Wan Junaidi

KUCHING: Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Ahad memberi amaran tegas kepada anggota dan pegawai polis supaya menjaga disiplin masing-masing, sama ada semasa bertugas mahupun di luar waktu bertugas.

Katanya, sikap segelintir anggota polis yang lalai ketika menjalankan tugas atau berkelakuan tidak senonoh telah mencalarkan imej baik pasukan polis.

Wan Junaidi berkata demikian sebagai mengulas lanjut kes rompakan kereta bersenjata di Jalan Satok di sini minggu lalu, di mana perompak berkenaan menggunakan pistol yang dicuri daripada seorang inspektor polis yang mabuk.

"Dia (pegawai polis) mungkin ada menjalankan tugas di sini tetapi silapnya selepas bertugas dia pergi berhibur dan membawa senjata bersamanya.

"Lagi pun dia memandu dan tidur di dalam keretanya di tepi jalan," kata Wan Junaidi kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada empat keluarga mangsa kebakaran di Kampung Pulo di sini.

Wan Junaidi menyifatkan sikap pegawai polis terbabit sebagai sangat menyedihkan sambil berkata pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri tidak akan berkompromi dengan keadaan seperti itu.

Beliau berkata, tidakan disiplin akan ambil terhadap pegawai polis terbabit.

Wan Junaidi turut menyatakan rasa bimbang beliau kerana dalam masa seminggu terdapat dua kes membabitkan pegawai polis mabuk termasuk membabitkan kes kecurian senjata daripada pegawai yang mabuk.

Beliau bagaimanapun memuji tindakan pantas pihak polis kerana berjaya memberkas kedua-dua pencuri terabit dan menemui semula pistol yang hilang.

"Saya akan berbincang dengan Ketua Polis Negara bagaimana untuk tingkatkan disiplin anggota polis, khsusnya bagi membendung gejala mabuk di kalangan anggota polis semasa bertugas.

"Kita tidak boleh menghalang mereka yang bukan beragama Islam daripada minum minuman keras tetapi minumlah secara berpatutan dan bukan semasa sedang menjalankan tugas agar tidak membahayakan diri sehingga tidak boleh menjaga keselamatan awam," tambahnya.

Wan Junaidi berkata sebagai pegawai polis yang diamanahkan untuk menjaga ketenteraman awam, mereka sepatutnya menunjukkan sikap yang baik yang boleh dicontohi masyarakat umum.

Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan kewangan masing-masing RM8,500 dan RM11,100 daripada Tabung Baitumal Sarawak (TBS) dan Pusat Khidmat Barisan Nasional Santubong serta enam kampit beras sumbangan Bernas kepada keluarga mangsa kebakaran itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain