suria

Shafie Bidas Pembangkang Politikkan Isu GiatMara Selayang

TAIPING: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membidas pembangkang yang mempolitikkan isu pusat GiatMara di Selayang, dan tidak melihatnya daripada aspek kepentingan untuk rakyat.

Beliau berkata pusat itu disediakan bukan untuk parti politik sebaliknya demi kepentingan rakyat yang sebahagian besarnya anak negeri Selangor untuk mendapat bimbingan serta latihan kemahiran dalam pelbagai sektor industri.

"Semua pihak perlu melihat dari aspek kepentingan rakyat yang ada...jangan pandai kempen pada musim pilihan raya (tapi) lepas pilihan raya, kepentingan rakyat terhadap tapak pusat latihan pun mahu diambil," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Kempen Keahlian Pergerakan Puteri Umno Malaysia di Taman Tasik Taiping di sini, Sabtu.

Beliau mengulas mengenai tindakan kerajaan Selangor yang akan mengkaji balik keputusan untuk menutup Pusat GiatMara Selayang yang beroperasi di tanah kerajaan negeri sejak 1994, sekiranya pihak pengurusan pusat latihan kemahiran itu mematuhi syarat memperbaiki kemudahan serta operasi sedia ada.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata terdapat banyak syarikat swasta yang menginginkan lokasi berkenaan untuk dijadikan pusat latihan membaiki peralatan berkaitan industri penerbangan.

Mohd Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata walaupun hal ehwal berkenaan tanah adalah bidang kuasa kerajaan negeri dan tempoh menduduki tapak pusat itu dilanjutkan sehingga tahun ini, pemimpin kerajaan di Selangor perlu melihat fakta yang lebih penting iaitu pembelaan kepada rakyat.

Beliau berkata ini kerana pusat GiatMara itu telah menyumbang bakti selama 20 tahun dan menyediakan sumber manusia yang berkemahiran untuk pelbagai industri di Selangor.

Pejabat Tanah dan Daerah Gombak dikatakan telah menghantar surat kepada pengurus Pusat GiatMara Selayang pada 2 Dis tahun lepas menyatakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memutuskan memberikan tempoh 12 bulan bermula 9 Disember 2013 hingga 10 Disember 2014 kepada pusat itu untuk berpindah tanpa sebarang ganti rugi dan pampasan.

Ia ekoran tanah seluas 11,396 kaki persegi yang diduduki pusat itu sejak 20 tahun lepas tidak mendapat kebenaran daripada kerajaan negeri.

Mohd Shafie berkata beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Ibrahim Ahmad mengambil langkah tertentu dalam tempoh terdekat berhubung perkara itu.

"Kami memerlukan tapak alternatif, jika tapak itu ditarik oleh kerajaan negeri kerana kami tidak mahu latihan dan bimbangan yang diberikan kepada golongan anak muda ini terbantut," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain