suria

KPDNKK Pulau Pinang Giat Pantau Harga Elak Pengguna Ditipu

GEORGE TOWN: Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang giat melakukan pemantauan di pasar basah di negeri ini bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga barangan sesuka hati.

Ketua Penguat Kuasa KPDNKK negeri Abdul Rosik Yakub berkata hasil pemeriksaan menerusi Ops Harga 2 sejak awal Januari lepas mendapati kebanyakan peniaga mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.

"Setakat ini hanya enam kes direkodkan melibatkan kesalahan tidak meletakkan tanda harga dan menggunakan alat penimbang tamat tempoh," katanya kepada pemberita selepas tinjauan di Pasar Chowrasta dan Pulau Tikus, Sabtu.

Beliau berkata operasi itu akan diperluaskan di restoran dan kedai runcit bermula esok bagi memastikan peniaga mengikut syarat peletakan harga barang jualan mereka.

Dalam operasi itu lebih 30 gerai diperiksa dan kompaun berjumlah RM200 dikeluarkan kepada dua peniaga atas kesalahan mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972 serta Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010. Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain