suria

Polis Marin Selamat Enam Mangsa Bot Terbalik Di Perairan Johor

KUALA LUMPUR: Enam mangsa bot terbalik diselamatkan polis marin petang Selasa selepas mereka dikesan enam batu nautika dari Pulau Sibu di perairan Johor.

Ketua Bahagian Risik Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 2, DSP Goh Boon Hong berkata mereka terdiri daripada seorang tekong bot, empat pekerja Sahz Resort Pulau Tinggi dan seorang penuntut Politeknik Melaka.

"Mereka ditemui berpaut pada bot yang terbalik dalam keadaan kesejukan dan tiada sebarang kecederaan dialami mangsa," katanya dalam catatan di laman Facebook Polis Diraja Malaysia, Rabu.

Mangsa dikatakan berlepas dari Jeti Tanjung Leman menuju Pulau Tinggi kira-kira 4 petang semalam sebelum bot mereka mengalami kerosakan.

Menurut Goh, bot itu kemudiannya terbalik selepas dipukul ombak besar.

Mangsa bagaimanapun berjaya menghubungi keluarga mereka di Pulau Tinggi yang seterusnya mendapat bantuan pihak marin, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain