suria

KD Jebat Bergeser Dengan Kapal Dagang

KUALA LUMPUR: Sebuah kapal frigat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Jebat, bergeser dengan sebuah kapal dagang yang tidak dikenali awal pagi Rabu.

Kejadian pada 3 pagi itu berlaku di kedudukan 24 batu nautika Barat Laut Permatang Sedepa (One Fathom Bank) di perairan Selangor.

Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata ketika kejadian, KD Jebat yang berpangkalan di Lumut, Perak itu sedang melakukan rondaan di Selat Melaka, dan cuaca ketika itu hujan dan laut bergelora.

"Kesemua warga kapal selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Tindakan pantas pegawai pemerintah dan kecekapan warga kapal berjaya menyelamatkan kapal daripada mengalami kerosakan lebih teruk," katanya kepada pemberita di Wisma Pertahanan di sini, Rabu.

Menurutnya, kapal itu mengalami kerosakan kecil yang tidak menjejaskan pelaksanaan operasi.

"TLDM telah menubuhkan satu lembaga siasatan untuk menyiasat punca sebenar insiden itu," kata Abdul Aziz sambil memberitahu usaha untuk mengenal pasti kapal dagang terlibat masih dijalankan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain