suria

Semua Kem PLKN Dilengkapi CCTV Tahun Depan - Abdul Rahim

KOTA KINABALU: Semua 81 kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di seluruh negara akan dilengkapi dengan Kamera Litar Tertutup (CCTV) tahun depan, kata Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri, Isnin.

Justeru itu, katanya pengusaha kem PLKN diminta memasang CCTV sebagai langkah tambahan bagi meningkatkan tahap keselamatan di kem.

"Setakat ini, cuma satu kem PLKN dilengkapi CCTV iaitu di Sibu, Sarawak. Keselamatan (di kem) akan kita pertingkatkan kerana tidak mahu kejadian buruk menjejaskan imej PLKN dan boleh menjejaskan operator.

"Kita mahu pihak pengusaha (kem) memberi kerjasama khususnya yang berkaitan dengan isu keselamatan," katanya kepada pemberita selepas membuat meninjau Kem PLKN Wawasan di Papar, kira-kira 45 kolimeter dari sini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Latihan) Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Azlan Juhar.

Abdul Rahim berkata pengusaha kem diminta memasang CCTV dalam tempoh 18 bulan dan jika gagal berbuat demikian, JLKN boleh menamatkan perkhidmatan mereka.

"CCTV boleh membantu dalam memantau insiden pergaduhan dalam kem atau pencerobohan dari luar kem. Dahulu, ia bukan keperluan tetapi selepas beberapa kejadian (dalam kem), mungkin ada keperluan (untuk pemasangan CCTV)," katanya.

Mengenai pelaksanaan dasar Strategi Lautan Biru Nasional (NBOS) dalam PLKN, Abdul Rahim berkata JLKN kini menjalin kerjasama dengan Jabatan Penjara untuk menyediakan perkhidmatan dobi kepada semua kem latihan itu.

Kerjasama itu akan menjimatkan perbelanjaan JLKN sebanyak kira-kira 30 peratus berbanding perkhidmatan dobi ditender.

Beliau juga memberitahu JLKN sedang bekerjasama dengan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) untuk menjanlankan kajian pengenai keberkesanan program PLKN, yang dijangka siap tahun ini.

Katanya kajian kedua itu dibuat selepas kajian sama dilaksanakan Universiti Kebangsaan Malaysia sebelum ini ke arah memberi idea baharu untuk menambah baik dan memantapkan pelaksanaan PLKN termasuk modul dan jurulatih. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain