suria

Khidmat Tren Komuter Tanpa Henti Sempena Thaipusam

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) menyediakan perkhidmatan KTM Komuter 24 jam selama lima hari bermula 15 Januari sempena sambutan Thaipusam.

Pengurus Besar KTM Komuter Hider Mohd Yusoff berkata perkhidmatan tren tanpa henti itu melibatkan 405 perkhidmatan tambahan dengan kekerapan antara 15 dan 30 minit untuk semua laluan iaitu Rawang ke Sungai Gadut; Sungai Gadut ke Rawang; Batu Caves ke Pelabuhan Klang; dan Pelabuhan Klang ke Batu Caves.

Beliau berkata perkhidmatan tren itu adalah sebagai tanda sokongan KTMB kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2014 dengan sasaran bakal dimanfaatkan 500,000 penumpang.

"Kami menugaskan 500 petugas berdedikasi untuk memastikan keselesaan dan keselamatan penumpang terjaga," katanya pada sidang akhbar mengenai perkhidmatan komuter sempena Thaipusam di Stesen KTM Komuter Batu Caves di sini, Isnin.

Orang ramai termasuk pelancong dalam dan luar negara digalakkan mengambil kesempatan atas perkhidmatan itu dan menggunakan konsep 'Park n Ride' dengan meletakkan kenderaan di stesen komuter berhampiran dan menaiki tren komuter. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain