suria

Akta Baharu Tangani Puak Pelampau Diwujudkan Jika Perlu - Wan Junaidi

BUKIT KAYU HITAM: Undang-undang yang perlu untuk memastikan rakyat dapat hidup aman dan selamat boleh diwujudkan sekiranya undang-undang sedia ada tidak dapat menangani puak pelampau, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Katanya kerajaan tetap dengan pendirian tiada undang-undang baharu diperkenalkan setelah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Pindaan) 2013 (SOSMA) diperkenalkan bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Kalau masalah besar timbul termasuk yang menyentuh sensitiviti agama, akta baharu boleh diwujudkan sekiranya ada desakan. Bagaimanapun kita melihat kepada kepentingan ramai, bukan kumpulan kecil," kata Wan Junaidi.

Beliau diminta mengulas cadangan Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) supaya kerajaan menggubal akta pencegahan pelampau agama bagi membendung gejala ekstremis dan radikal agama dalam kalangan masyarakat.

Pengerusi Aswaja, Zamihan Mat Zin yang juga Penolong Setiausaha Bahagian Agama KDN berkata di Shah Alam semalam, akta itu perlu berikutan banyak kekacauan dan provokasi agama sehingga menggugat keselamatan negara dan keharmonian kaum susulan pemansuhan ISA pada 2011.

Terdahulu, Wan Junaidi yang dalam lawatan kerja ke sempadan Malaysia/Thai di sini diberi taklimat oleh agensi-agensi di bawah KDN di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Kayu Hitam, Isnin.

Beliau berpuas hati dengan kerjasama semua 14 agensi di bawah KDN di Bukit Kayu Hitam namun mengingatkan mereka agar menjalankan peranan sewajarnya dalam menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM2014) dan penubuhan Komuniti Asean menjelang 2015.

"Dalam mengawal kemasukan pelawat luar kita sedar kesan sosial dan keselamatan negara yang dibawa oleh mereka namun tindakan yang diambil hendaklah tidak bercanggah dengan matlamat TMM2014.

"Saya harap lawatan ini dapat memberi dorongan kepada pegawai-pegawai agensi di sini memberikan perkhidmatan lebih cemerlang dalam menghadapi cabaran yang semakin hebat," katanya.

Mengenai pembesaran ICQ Bukit Kayu Hitam, Wan Junaidi berkata projek tersebut bermula tahun lepas dilaksanakan mengikut fasa dan dijangka siap pada 2016.

Dalam lawatan itu beliau turut meninjau pagar keselamatan yang memisahkan Bukit Kayu Hitam dan Danok di sebelah Thailand.

Turut bersama beliau Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Bukit Kayu Hitam Datuk Ahmad Zaini Japar, Pengarah Jabatan Imigresen Kedah Fitri Md Hassan dan Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Zaleha Abdul Rahman. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain