suria

Banglo Dihuni Pesuruhjaya Tinggi Brunei Terbakar

KUALA LUMPUR: Sebuah banglo tiga tingkat di Jalan Tun Ismail di sini terbakar malam Jumaat, menyebabkan kediaman Pesuruhjaya Tinggi Brunei Datuk Paduka Ishaaq Abdullah itu musnah hampir 50 peratus.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khiruddin Drahman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 9.25 malam Jumaat.

"Kebakaran melibatkan tingkat dua dan tiga banglo berkenaan dengan keluasan kemusnahan sekitar 30 meter persegi. Kejadian dikatakan berpunca daripada sebuah bilik di tingkat dua rumah berkenaan," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata bomba mengambil masa kira-kira dua jam untuk memadam kebakaran berikutan masalah tekanan air rendah di kawasan itu dan pihak Syabas turut dihubungi untuk membantu meningkatkan tekanan air.

Seramai 56 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentul, Hang Tuah, Titiwangsa dan Sri Hartamas digerakkan ke tempat itu.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan, katanya.

Sementara itu, seorang tukang kebun yang dikenali sebagai Sulaiman, 43, berkata beliau ternampak api dari bilik anak pesuruhjaya tinggi Brunei itu di tingkat dua banglo berkenaan.

"Ketika itu ada tujuh orang dalam rumah, termasuk Datuk dan isteri, adik ipar Datuk (suami dan isteri), seorang pembantu rumah, pemandu dan pengawal keselamatan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian. - BERNAMA

Artikel Lain