suria

Serbuan Jais: PBM Serahkan Kerajaan Persekutuan Cari Penyelesaian

PETALING JAYA: Para pegawai Persekutuan menemui para pemimpin Persatuan Bible Malaysia (PBM) untuk menyelesaikan isu serbuan Jabatan Agama Islam Malaysia (Jais) di pejabat persatuan itu dan mengadakan rampasan terhadap naskah penerbitannya.

Setiausaha Agung PBM, Dr Rev Simon Wong enggan mendedahkan siapakah pegawai-pegawai itu tetapi menjelaskan bahawa mereka daripada Jabatan Perdana Menteri.

"Mereka berjanji bahawa mereka akan melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan isu ini. Kami menyerahkan kepada mereka untuk berbuat demikian," kata Wong.

Beliau berkata, sebanyak 10 perkara perjanjian pada percetakan, pengimportan dan pengedaran naskah Bible versi Bahasa Malaysia di Semenanjung Malaysia yangmerupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan, maka Kerajaan perlu mencari penyelesaian.

Khamis lepas dilaporkan bahawa sejumlah naskah Bible dirampas oleh Jais yang mempunyai tanda salib Kristian dan perkataan "Penerbitan Kristian" yang dicetak pada kulitnya, sebagaimana yang dikehendaki di bawah perjanjian itu.

Naskah Bible diimport dan disemak oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum mereka meluluskannya kepada PBM.

Presiden PBM, Lee Min Choon turut mengunci mulut mengenai identiti para pegawai yang menemui mereka selama satu jam.

"Mereka adalah daripada Kerajaan Persekutuan, manakala Jais adalah badan negeri yang bukan di bawah bidang kuasa mereka. Mereka perlu menyelesaikannya mengikut prosedur mereka," katanya.

Lee berkata, PBM tidak pernah mendengar apa-apa maklumat rasmi sama ada daripada Kerajaan Selangor atau Jais.

Pengerusi Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) Rev Dr Eu Hong Seng mengutuk serangan itu.

Beliau berkata, rampasan naskah Bible dan menyoal dua pegawai PBM melanggar hak untuk kebebasan beragama, seperti yang dinyatakan dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

"Kami menyeru Perdana Menteri dan anggota Kabinet untuk mendukung perkataan dan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memastikan hak-hak masyarakat Kristian," katanya.

Setiausaha Agung Majlis Gereja-Gerja Malaysia (CCM), Rev Dr Hermen Shastri menggesa penganut agama Kristian untuk berdoa bagi mendapatkan penyelesaian secara aman.

"CCM menyeru gereja-gereja di negara ini supaya bersabar, dan berdoa agar pihak berkuasa yang sepatutnya akan bertindak dengan kebijaksanaan dan kepekaan serta melindungi hak-hak agama," katanya.

Presiden Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme, Jagir Singh berkata, tindakan itu dilihat sebagai serbuan haram .

"Undang-undang tertinggi di negara ini adalah Perlembagaan Persekutuan. Perkara 11 (1) membolehkan semua orang yang beragama untuk mengamalkan dan menyebarkan secara bebas tanpa sekatan yang tertakluk kepada fasal 4, yang menghalang penyebaran ajaran kita kepada umat Islam, "katanya.

Semua pihak beragama, katanya, mesti mematuhi kedaulatan undang-undang, sambil menambah bahawa ia sepatutnya adalah tindakan pihak polis ke atas suatu kesalahan dan bukannya badan-badan keagamaan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain