suria

Kalimah Allah: Umno Selangor Tidak Adakan Himpunan Bantah Di Gereja

KLANG: Rancangan Umno Selangor untuk mengadakan bantahan di hadapan semua gereja di negeri itu pada Ahad seperti yang digembar-gemburkan mungkin tidak akan berlaku.

Para pemimpin Umno negeri yang dihubungi seolah-olah tidak pasti sama ada perhimpunan yang dicadangkan untuk membuat bantahan terhadap kenyataan Paderi Lawrence Andrew bahawa gereja-gereja Katolik akan terus menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan dalam perhimpunan untuk terus diadakan.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Johan Abd Aziz berkata, perkara itu belum dibincangkan sepenuhnya dengan ahli-ahli parti termasuk pengerusi negeri, Datuk Seri Noh Omar.

"Ada perbincangan dan gesaan untuk mengadakan bantahan tetapi hanya Noh boleh membuat keputusan. Sehingga kini, tiada keputusan yang dibuat," katanya pada Jumaat.

Noh ketika dihubungi mendakwa beliau tidak mengetahui sebarang rancangan itu.

"Siapa yang mahu mengadakan bantahan? Umno? Jika kita akan lakukannya, kita akan memaklumkannya kepada rakyat," katanya.

Timbalannya, Datuk Abdul Shukur Idrus berkata, keputusan sama ada perhimpunan itu akan diadakan atau tidak akan diputuskan pada Sabtu.

"Ia semua bergantung kepada sama ada Paderi Lawrence mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka," katanya.

Sebahagian pemimpin Umno Selangor pada Khamis memberi tempoh kepada Paderi sehingga hari ini (Sabtu) untuk menarik balik kenyataannya manakala Ketua Umno Bahagian Gombak, Abdul Rahim Kamarudin berkata, parti itu akan mengadakan bantahan sekiranya Paderi Katolik itu gagal untuk berbuat demikian.

Perkasa Selangor turut berkata, ia tidak akan mengadakan sebarang perhimpunan di hadapan gereja.

Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya berkata, badan-badan bukan kerajaan (NGO) akan menjalankan bantahan, tetapi tidak dengan mengadakan perhimpunan di hadapan gereja-gereja kerana ianya akan mengganggu penganut agama Kristian untuk beribadat.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Ketua Umno Serdang, Mejar (RET) Abdul Rahim Mohd Amin berkata, anggota parti mungkin mengadakan bantahan di hadapan rumah Paderi Lawrence sekiranya beliau gagal untuk menarik balik kenyataannya.

"Jika beliau enggan (menarik balik kenyataan), kita boleh mengadakan bantahan secara aman di luar rumahnya selepas membuat laporan polis," katanya pada sidang media pada Jumaat.

Ketua Pemuda Umno Serdang, Ahmad Yani Ahmad, yang turut menghadiri sidang media itu menuntut Paderi Lawrence supaya membuat permohonan maaf kerana membuat kenyataan yang bertentangan dengan titah Sultan Selangor.

"Bagaimanapun, kita menyedari gesaan beliau itu mungkin tidak mewakili pandangan semua penganut agama Kristian," katanya.

Di Banting, kira-kira 400 wakil ahli Umno Kuala Langat, Belia 4B, Perkasa dan beberapa NGO lain membantah secara aman di hadapan Balai Polis Kuala Langat berhubung isu yang sama.

Ketua Umno Kuala Langat, Datuk Sulaiman Karli berkata, mereka mengadakan bantahan di hadapan balai polis dan tidak di mana-mana gereja kerana mereka tidak mahu menyebabkan ketegangan di kalangan penganut agama Kristian.

"Kami cintakan negara ini. Tambahan pula, sekiranya kami berada di pihak yang salah, ianya menjadi mudah untuk polis menahan kami," katanya.

Di Kuala Lumpur, Cheras Umno membuat tiga laporan polis mengenai isu kalimah Allah di Ibu Pejabat Polis Cheras.

Setiausahanya, Datuk Syed Medhar Syed Abdullah menggesa Kementerian Dalam Negeri untuk mengambil tindakan segera dalam menyelesaikan isu berkenaan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain