suria

Pengurus Jualan Anak Syarikat Telekom Malaysia Didakwa Rasuah

SHAH ALAM: Seorang eksekutif anak syarikat Telekom Malaysia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini Isnin atas empat pertuduhan menerima suapan berjumlah RM259,250 antara tahun 2010 dan 2011.

Bagi pertuduhan pertama, Mohamed Puhad Mohamed Liza, 42, iaitu Pengurus Bahagian Jualan di Syarikat GITN Sdn Bhd didakwa memperoleh rasuah melalui cek berjumlah RM44,590 daripada syarikat Numix Engineering Sdn Bhd sebagai upah dalam membantu syarikat itu mendapatkan jualan pemasangan rangkaian Internet tanpa wayar VSAT Ku Band.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai makan No 2, Tingkat Bawah, Jalan Rugbi 13/30, Seksyen 13 di sini antara pukul 2 petang hingga 7 malam pada April, Mei dan Jun 2010.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan menerima suapan berbentuk wang tunai berjumlah RM73,320 daripada syarikat sama sebagai upah bagi tujuan sama di Bank Islam Malaysia Berhad cawangan Shah Alam di Jalan Kristal K7/K, Seksyen 7 di sini antara September dan Oktober 2010.

Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga dan keempat, tertuduh didakwa menerima suapan berbentuk wang tunai masing-masing berjumlah RM45,830 dan RM95,510 daripada syarikat sama bagi tujuan sama.

Kedua-dua pertuduhan didakwa dilakukan di bank berkenaan antara November dan Disember 2010 serta Januari 2011.

Bagi kesemua kesalahan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda suapan mengikut mana lebih tinggi.

Terdahulu, peguam yang mewakili tertuduh, Ravin Singh memohon mahkamah mengenakan jaminan yang munasabah, sebab anak guamnya yang berkhidmat dengan syarikat GITN Sdn Bhd selama 18 tahun terpaksa menyara keluarga termasuk lima orang anaknya dengan pendapatan separuh gaji.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Azah Kasran memohon mahkamah mengenakan jaminan RM50,000 bagi kesemua empat pertuduhan.

Hakim Asmadi Husin kemudian menetapkan jaminan RM35,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan agar pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Beliau menetapkan 26 Februari depan sebagai tarikh pengurusan kes dan 12 hingga 14 Mac sebagai tarikh bicara. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain